top of page

Keganasan sekolah: Gerakan intervensi psikososial, sokongan trauma - Karen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 15, 2025
  • 1 min read

Oleh: Akmal Manaf


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa untuk mengambil tindakan segera dan berkesan dalam menangani krisis sosial serta keselamatan pelajar susulan tragedi yang berlaku di sekolah sejak kebelakangan ini.


Exco Wanita KEADILAN Pusat, J Karen Kasturi berkata, tragedi sama ada kes buli atau bunuh di sekolah bukan isu disiplin semata-mata tetapi mencerminkan tekanan sosial, emosi dan keluarga yang semakin menekan anak-anak.


''Dalam hal ini, KPWKM tidak boleh berdiam diri lagi. Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap perlindungan kanak-kanak dan kesejahteraan sosial, diam bukan pilihan apabila kesejahteraan anak-anak kita tergugat.


''KPWKM mesti proaktif dan tampil ke depan dengan tindakan yang berkesan.


''Langkah intervensi psikososial, sokongan trauma dan pemulihan keluarga perlu digerakkan dengan segera, bukan hanya selepas tragedi berlaku tetapi sebagai inisiatif pencegahan berterusan di semua peringkat sekolah dan komuniti,'' katanya dalam satu kenyataan.


Dalam kenyataan sama, Karen turut menggesa agar KPWKM memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar setiap kes buli, keganasan dan tekanan emosi pelajar ditangani secara holistik melalui gabungan pendidikan, kaunseling dan sokongan komuniti.


''Apabila kedua-dua kementerian ini berganding bahu, kita bukan sahaja mencegah tragedi tetapi menyembuh dan membina semula sistem sokongan sosial yang berperikemanusiaan dan berpaksikan empati.


''Sebagai pemimpin wanita, saya menyeru agar KPWKM memimpin naratif perlindungan anak-anak dan keluarga di Malaysia secara lebih proaktif kerana masa depan bangsa bergantung pada sejauh mana kita berani bertindak hari ini,'' katanya lagi.


Beliau berharap kes buli dan bunuh sebagaimana yang berlaku kebelakangan ini adlaah yang terakhir dan masyarakat akan mengambil ikhtibar serta lebih mengambil berat mengenai hal pelajar sekolah dan persekitaran mereka.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page