Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) hari ini mengiktiraf Malaysia sebagai paling bebas di ASEAN dilihat sebagai kesan keterbukaan media setelah beberapa bulan Kerajaan Perpaduan berkuasa.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil memuji perkembangan tersebut sebagai membanggakan dan menjadi pemangkin untuk kerajaan memartabatkan kebebasan media.
"Ini pencapaian yang baik dan membanggakan buat negara.
"Ia juga menjadi pemangkin untuk kita terus memartabatkan kebebasan media di Malaysia," katanya.
Beliau juga berjanji Kementeriannya akan mempertingkatkan lagi kebebasan dan kualiti pengamal media Malaysia dengan memperkenalkan Rang Undang Undang Majlis Media selepas ini.
"Kementerian Komunikasi Dan Digital bersama pengamal media sedang meneliti draf RUU Majlis Media sebelum ia dibawa ke Jemaah Menteri.
"InshaAllah akan ada beberapa pengumuman baik buat para pengamal media menjelang Hari Wartawan Nasional (HAWANA)," katanya lagi.
Dalam indeks Kebebasan Media Dunia 2022, kedudukan Malaysia meningkat kepada 113 dengan 51.55 mata berbanding tahun sebelumnya, pada kedudukan 119 dengan 60.53 mata.
Malaysia menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand ke-115, Indonesia (117), Singapura (139), Kemboja (142), Brunei (144), Filipina (147), Laos (161), Vietnam (174) dan Myanmar (176).
Comments