KEADILAN tolak gesaan bubar Parlimen jika DAP keluar kabinet
- Azuan Ab Rahman

- Aug 6
- 1 min read

KEADILAN menolak gesaan Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil supaya Parlimen dibubarkan sekiranya DAP membuat keputusan menarik diri daripada Jemaah Menteri.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, cadangan itu tidak berasas kerana Kerajaan Perpaduan masih mempunyai mandat dan sokongan mencukupi untuk mentadbir sehingga tamat penggal.
Malah ia hanya menunjukkan kegagalan Khairul Faizi untuk memahami asas pembentukan kerajaan dipilih rakyat.
"Pentadbiran sesebuah kerajaan dibina hasil daripada mandat rakyat dan seharusnya diselesaikan dalam tempoh satu penggal penuh, apatah lagi kecemerlangan pentadbiran itu terbukti memacu pertumbuhan ekonomi negara.
"Jika akar umbi DAP mengambil keputusan agar pimpinan mereka meninggalkan posisi pentadbiran, keadaan tetap stabil kerana Ahli Parlimen mereka masih menjadi sebahagian daripada blok penyokong kerajaan," katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan sama Saifuddin menegaskan, keberadaan wakil DAP dalam pentadbiran Kerajaan Madani tidaklah mendatangkan sebarang impak buruk, selain ianya dijadikan alasan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan sentimen yang tidak wajar.
"Malah para Menteri dan Timbalan Menteri mewakili DAP tuntas menjalankan amanah yang diberikan di sebalik tekanan-tekanan fitnah politik yang berpanjangan," jelasnya.
Beliau sementara itu menyatakan keyakinan dengan dibarisi lebih dua pertiga Ahli Parlimen, Kerajaan Madani tidak akan menghadapi masalah untuk melengkapkan jumlah Menteri Kabinet yang diperlukan bagi membantu kelancaran pentadbiran.
"Malah semua pihak yakin prestasi dan pentadbiran cemerlang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab secara terus pertikaian dan persepsi yang cuba dihangatkan terutama pada dua siri Pilihan Raya Negeri lalu.
"Rakyat akan mulai sedar kestabilan dan kemakmuran ekonomi adalah jawapan kepada semua kebingungan sosial yang sedang berlegar kini," katanya.




Comments