KEADILAN terbuka untuk rundingan kerusi tetapi juga terbuka untuk bertanding sekiranya Muda ingin meletak calon pilihan raya secara bertindih.
Hal itu disuarakan oleh Naib Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, Datin Faizah Arifin.
Menurut beliau tindakan Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman yang mengugut kemungkinan berlaku pertindihan kerusi dengan KEADILAN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak menggentarkan parti itu.
"Ini adalah proses demokrasi biasa untuk memilih wakil rakyat, maka ianya terbuka untuk mana-mana parti politik untuk meletakkan calon terbaik di mana-mana kerusi yang difikirkan boleh menang.
"Parti Keadilan Rakyat sentiasa terbuka untuk berunding dan jika tiada sebarang keputusan dicapai, maka hormatilah keputusan tersebut.
"Tetapi MUDA seperti melepaskan dendam atas kegagalan rundingan tersebut untuk bertembung dengan calon KEADILAN," katanya.
Tambah beliau, sekiranya Muda berpendirian yang tidak sebagaimana konsensus hal itu akan membuka perbalahan malah mungkin ada cadangan untuk melatak calon KEADILAN pula di kerusi Muda
"Jika itu hasrat mereka, maka saya berpandangan KEADILAN juga boleh meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh Muda terutamanya Puteri Wangsa.
"Muda bukanlah gabungan Pakatan Harapan dan saya kira tiada masalah untuk bertemu sesama sendiri di gelanggang sebenar," katanya lagi.
Comentarios