
KEADILAN Sarawak menyokong usaha kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Joshua Jabeng, 'kerjasama sementara' tersebut bagi menggembeleng pemikiran dan tindakan kerajaan-pembangkang demi menyelamatkan rakyat daripada terus menghadapi malapetaka pandemik Covid 19 serta kemuraman ekonomi.
"Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan atas dasar kemanusiaan, kami menyokong penuh langkah yang diambil oleh Majlis Presiden PH untuk mengetepikan perbalahan politik dan memberi kerjasama kepada Perdana Menteri dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat hingga ke PRU15 yang akan datang.
"Adalah jelas terbukti peranan PH tidak boleh lagi dipandang remeh atau gila kuasa. Justeru itu kita sanggup menyumbang secara langsung dan konstruktif untuk menurunkan kadar jangkitan Covid 19 serta berusaha memulihkan ekonomi yang sudah mencapai tahap kritikal secepat mungkin.

"Memang ramai yang khuatir jangan sampai kita terjerumus lagi ke dalam perangkap politik daripada pihak yang hanya mementingkan diri. Namun, kita perlu berpendirian realisitik dan mengikut keperluan semasa. Persefahaman ini hanyalah sementara," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Joshua lagi, kerjasama tersebut tertakluk kepada syarat-syarat tertentu seperti melantik barisan Speaker dewan yang berpendirian adil termasuk wakil dari pembangkang.
Hal itu, katanya, perlu untuk menjamin keserasian Dewan Rakyat sebagai wadah untuk berbahas demi mencari penyelesaian ke atas permasalahan rakyat dan bukan menjadi medan bertegang leher.
Selain itu, tegas Joshua, MPN Sarawak juga mengharapkan reformasi Parlimen diperkemaskan dengan meluluskan Rang Undang-undang anti lompat parti dalam sesi persidangan Dewan Rakyat yang terdekat.
"Berkenaan dengan Institutional Reform, kami menggesa supaya ketiga-tiga cawangan pemerintahan legistlatif, executif dan kehakiman dipisahkan dengan cara yang nyata dan telus tanpa berselindung.
"Untuk memulihkan keyakinan rakyat supaya sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan wujud sihat di negara ini, PRU15 perlu diadakan dengan segera selepas pandemik selesai. Manakala, Undi-18 pula dilaksanakan secara automatik," katanya.
Mengulas mengenai kabinet kitar semula Ismail Sabri, beliau melahirkan rasa kesal kerana para menteri yang jelas telah gagal dalam kabinet Mahiaddin Yassin dilantik untuk meneruskan kesinabungan kegagalan.
"Adapun kami amat menyesali lantikan jemaah menteri yang baharu diumumkan kerana hanya pengulangan kesilapan yang mengecewakan. Selain daripada bilangan yang terlalu ramai, mereka adalah barisan kitaran semula daripada barisan menteri yang terbukti telah gagal dan caca marba," katanya lagi.
Comments