
KEADILAN Sarawak akan menghantar satu jentera yang turut melibatkan kepimpinan tertinggi negeri untuk membantu KEADILAN Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.
Naib Pengerusi KEADILAN Sarawak, Dr Michael Teo Yu Keng menganggap walaupun Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang berbeza, rakyat Sarawak dapat memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah.
"KEADILAN Sarawak dan KEADILAN Sabah sentiasa mempunyai hubungan yang baik. Kami mempunyai persamaan dari segi isu-isu yang dihadapi oleh kedua-dua negeri.
"PRN Sabah akan menjadi pilihan raya yang panas kerana situasi politik yang tidak stabil di peringkat negeri dan persekutuan," katanya seperti dilaporkan oleh The Star.
Bagaimanapun, Michael yang juga Ahli Parlimen Miri bimbang peningkatan kes wabak COVID-19 akan memaksa KEADILAN mengubah strategi berkempen di Sabah.
"Parti-parti politik akan berdepan situasi yang tidak pernah dihadapi sebelum ini. Tidak pernah PRN diadakan ketika penularan wabak berbahaya.
"Ia sudah tentu akan memberi kesan besar kepada strategi parti untuk berkempen nanti," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon, tarikh pengundian awal dan tarikh hari mengundi dalam mesyuarat khas pada 17 Ogos di Kota Kinabalu.