
KEADILAN perlu mempunyai kekuatan akar umbi untuk memastikan matlamat memasuki pilihanraya tercapai di Terengganu.
Hal itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli di hadapan wartawan usai Konvensyen Pilihanraya Negeri Terengganu 2023 pagi tadi.
Katanya, rakyat Terengganu celik politik namun sekiranya sesebuah parti tidak ada kekuatan minimum maka mereka tidak akan mendapat undi.
"Kena ada kekuatan akar umbi yang minima, dari segi celik politik sama sahaja di Terengganu di Kelantan, mereka celik politik.
"Tapi kalau di negeri lain politik di Pantai Barat persaingan lebih meluas, bukan hanya ada Umno dan Pas sahaja. Jadi pengundi itu lebih cenderung melihat, memberi lebih pemberat kepada soal idea dan kepimpinan, bukan soal akar umbi semata mata.
"Itu cabaran di akar umbi, di Terengganu dan Kelantan. Walaupun ada gelombang rakyat, tetapi mereka nak mengundi mereka tengok kiri kanan, sekeliling rumah dia. Kalau tak kuat, kami beri undi kepada KEADILAN mungkin tidak akan mengalahkan calon yang sedia ada. Jadi pertimbanagn itu perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya.
Dalam perundingan kerusi dengan BN juga, kata Rafizi, KEADILAN perlu mempunyai kekuatan akar umbi untuk membolehkan kerusi di bahagi bahagikan berdasarkan jentera di lapangan yang akan menggerakkan kempen pilihanraya.
"Runding kerusi tak boleh buta sahaja perlu ada parameter. Kalau itu dipersetujui oleh Umno dan PH di peringkat pusat (maka pembahagian mudah)," katanya.
Mengenai kemungkinan PRN diadakan pada Mac di Terengganu, Rafizi berkata itu hak Kerajaan Negeri untuk memutuskan pembubaran DUN. Katanya, KEADILAN akan sentiasa bersedia dan jika kempen dalam tempoh segera maka penggunaan media sosial adalah cara yang terbaik untuk mencapai pengundi.