KEADILAN Pahang nafi PM Anwar diboo, dakwa laporan portal 'putar belit'
- Suara Keadilan
- 25 minutes ago
- 1 min read

KEADILAN Pahang menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diboo ketika menghadiri Sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan dan Sambutan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, semalam.
Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berkata, laporan sebuah portal dalam talian yang mendakwa parti itu "kesal PMX Anwar kena 'boo'" adalah tidak benar, mengelirukan dan bukan kenyataan rasmi KEADILAN Pahang.
Menurutnya, beliau sendiri berada sepanjang program berlangsung dan menegaskan tiada insiden seperti yang didakwa berlaku.
"Sebaliknya, majlis berlangsung dalam suasana yang meriah, teratur dan mendapat sambutan luar biasa daripada puluhan ribu warga FELDA yang hadir.
"Setiap pengumuman berkaitan inisiatif serta kebajikan peneroka disambut dengan tepukan dan reaksi positif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suhaimi turut menegaskan KEADILAN Pahang tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang dipetik portal berkenaan, apatah lagi menggunakan bahasa atau gelaran yang menghina warga FELDA.
Beliau berkata, penggunaan nama KEADILAN Pahang bagi memberi gambaran seolah-olah kenyataan itu datang daripada parti adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan reputasi organisasi.
Katanya, penyebaran naratif sedemikian lebih menjurus kepada usaha membentuk persepsi politik berbanding melaporkan fakta secara adil dan beretika.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengamal media dan pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab dalam menyemak serta menyebarkan maklumat.
"Rakyat berhak menerima laporan yang tepat, berintegriti dan berasaskan fakta, bukannya berita yang bersifat sensasi atau mengelirukan.
"KEADILAN Pahang kekal komited mempertahankan kebenaran, menolak fitnah serta sebarang usaha memanipulasi persepsi awam demi kepentingan politik sempit," katanya.
