KEADILAN mampu bangkit kembali, adakan PRU16 dalam tempoh 12 bulan
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Kekalahan KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Johor dan Sabah tidak bermakna parti itu sudah melemah, sebaliknya perlu bangkit menyusun semula strategi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar), KEADILAN sebagai parti reformasi perlu mempunyai semangat untuk menerima kekalahan dan terus berjuang.
"Setelah hilang kerajaan Negeri Sembilan dalam pilihanraya negeri 1 Ogos dan kalah sebelum itu di Johor dan Sabah, bukanlah bermakna KEADILAN sudah 'bungkus'.
"Jadi, jangan menangis KEADILAN. Anda parti reformasi. Kita orang perjuangan. Kita berani berjuang, berani menang dan berani kena tendang," katanya dalam muat naik di media sosial.
Hassan berkata, meskipun terdapat Ahli Parlimen KEADILAN meninggalkan parti, masih banyak wakil rakyat yang kekal setia mempertahankan Kerajaan MADANI.
Menurutnya, KEADILAN masih mempunyai masa depan sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang membawa agenda perubahan dan harapan kepada rakyat.
"Kita masih ada masa depan. Anda KEADILAN adalah parti untuk semua rakyat dari semua bangsa, dari semua negeri dan wilayah untuk masa depan," katanya.
Hassan turut menyeru anggota parti supaya bangkit selepas berehat daripada kempen dan mula menyusun strategi menghadapi PRU16.
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak tergesa-gesa membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU16.
Hassan berpandangan Kerajaan MADANI wajar mentadbir sehingga tamat tempoh mandat penuh, iaitu akhir 2027 bersamaan tarikh paling awal sidang Dewan Rakyat diadakan oleh pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU lalu.
"Yakinkan pemimpin kita Anwar Ibrahim supaya jangan mudah latah. Beritahu Anwar supaya jangan adakan PRU16 waktu terdekat ini.
"Beri semangat kepada Anwar supaya tadbir kerajaan pusat Malaysia baik-baik sehingga tempoh mandat penuh iaitu akhir tahun 2027 atau awal 2028," katanya.
Beliau berkata tempoh pentadbiran yang lebih panjang akan memberi peluang kepada kerajaan memperlihatkan hasil dasar ekonomi dan membolehkan rakyat menilai prestasi kerajaan dengan lebih menyeluruh.
"Dari perspektif strategi politik adalah pilihan yang tepat agar Kerajaan Madani mentadbir kerajaan pusat hingga tempoh penuh, seandainya KEADILAN dan PH hendak menang dalam PRU16.
"Jika PRU16 diadakan pada 12 bulan hingga 18 bulan akan datang, keletihan rakyat sebagai pengundi akan beransur hilang dan momentum parti-parti lawan akan berkurangan kerana masa. Tidakkah 'masa itu merawat luka'?" tanyanya.
Beliau turut berpandangan tempoh berkenaan penting dari sudut ekonomi, khususnya untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.
"Dalam waktu panjang itu, banyak pelaburan asing (FDI) yang baik-baik untuk negara ini boleh masuk.
"Saya percaya dalam tempoh setahun lebih ini sebelum PRU16, kegelisahan dan kemarahan rakyat akan reda apabila dasar-dasar ekonomi makro Anwar Ibrahim menghasilkan kesan yang melegakan rakyat di semua lapisan dan golongan," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Parlimen ke-15 dibubarkan selepas rakyat dapat melihat ekonomi negara berada pada landasan yang lebih baik.




Comments