KEADILAN Johor perhebat kesiapsiagaan jentera melalui kursus TERAS
- Hasbul Ahmad

- 1 hour ago
- 2 min read

Kursus Training of Trainers (ToT) Sistem Pengurusan Pilihan Raya TERAS merupakan usaha berterusan memperkukuhkan keupayaan organisasi dan kesiapsiagaan jentera parti menjelang sebarang kemungkinan pilihan raya.
Demikian kesimpulan para peserta kursus yang terdiri dari ketua cabang serta pengarah pilihanraya cabang dalam pemukiman TOT Sistem Pengurusan Pilihan Raya TERAS peringkat Johor di Bilik Gerakan Utama KEADILAN Johor baru baru ini.
Pengarah Pilihan Raya Cabang Pengerang (JPRC), Yusof Abd Rahman berkata, penggunaan sistem pengurusan pilihanraya yang dibangunkan itu akan memperkemaskan urusan data, penyelarasan jentera serta pemantauan gerak kerja pilihanraya secara lebih sistematik dan berkesan.
"Pengisian yang diperoleh melalui kursus ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuhkan gerak kerja serta kesiapsiagaan jentera KEADILAN Cabang menghadapi pilihanraya akan datang," kata beliau.
Sementara itu, Ketua AMK Johor, Faezuddin berkata melalui latihan tersebut, peserta didedahkan kepada kaedah pengoperasian sistem TERAS termasuk aspek pengurusan maklumat pengundi, pemetaan kawasan, penyelarasan petugas dan pemantauan aktiviti lapangan yang menjadi komponen penting dalam persediaan menghadapi pilihan raya.
"Terima kasih kepada Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar dan pasukan atas ilmu yang dikongsikan.
"InshaAllah akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuhkan gerak kerja serta kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang," kata Faezuddin yang juga Ketua Cabang Pulai.
Konsep Training of Trainers yang digunakan dalam kursus tersebut bertujuan melahirkan tenaga pengajar di peringkat cabang yang mampu menyampaikan semula ilmu dan kemahiran diperoleh kepada jentera akar umbi di kawasan masing-masing.
Dengan pendekatan itu, pengetahuan mengenai penggunaan sistem TERAS dapat diperluaskan secara lebih cepat dan tersusun kepada seluruh lapisan jentera parti, sekali gus memastikan setiap cabang mempunyai tahap kefahaman yang seragam terhadap sistem tersebut.
Wakil-wakil Cabang dari seluruh Johor yang hadir turut mengambil peluang untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman bersama peserta lain berhubung cabaran serta amalan terbaik dalam pengurusan gerak kerja pilihan raya.
Perkukuh jentera KEADILAN Johor hadapi PRN, PRU
Sementara itu Ketua Cabang Pontian, Mohd Hanif Hosman berkata melalui kursus, anggota parti akan terus meningkatkan kompetensi dan profesionalisme jentera selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan pengurusan pilihanraya yang semakin kompleks.
Katanya, usaha memperkasakan jentera melalui latihan dan pembangunan kapasiti dilihat penting bagi memastikan setiap petugas memiliki kemahiran yang mencukupi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan lebih efektif dan teratur.
"KEADILAN Cabang Pontian berharap ilmu serta kemahiran yang diperoleh menerusi kursus ToT TERAS ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuhkan gerak kerja organisasi di peringkat cabang dan seterusnya menyumbang kepada kesiapsiagaan jentera parti di negeri Johor secara keseluruhannya.
"Melalui kursus ini, segala ilmu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperkukuhkan gerak kerja serta kesiapsiagaan jentera KEADILAN Cabang Pontian menghadapi pilihanraya akan datang," katanya.
Sistem TERAS merupakan sebuah platform bersepadu yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), direka untuk meningkatkan kecekapan operasi parti secara menyeluruh. Daripada pengurusan data pengundi, pelaksanaan gerak kerja lapangan, sehinggalah kepada komunikasi yang lebih tersasar dan berimpak semuanya digerakkan secara strategik dan berasaskan data.
Diilhamkan oleh Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar sistem ini bukan sekadar inovasi teknologi tetapi satu anjakan penting dalam cara mengurus kempen dan mendekati rakyat dengan lebih efektif.




Comments