Oleh: Abdullah Zaid
KEADILAN Cabang Baram menyuarakan rasa kesal ekoran dilabel menyimpan aktivis yang menentang pembangunan membabitkan penduduk Long Terawan.
Menerusi satu kenyataan Ketua Cabangnya Roland Engan berkata, masyarakat Baram memilih untuk menggunakan hak dan kebebasan bersuara di media sosial terhadap cadangan projek empangan Sungai Tutoh di kawasan tersebut kerana dirasakan lebih bebas.
"KEADILAN Baram menasihati pimpinan kampung berkenaan untuk menyelesaikan isu dalaman kampung sendiri terlebih dahulu.
"Mereka harus sedar bahawa ada banyak punca kenapa penduduk kampung lebih suka memilih untuk menyuarakan pandangan mereka melalui media sosial secara terbuka dan bukannya dalam mesyuarat kampung," katanya.
Malah, jelas beliau, semakin ramai penduduk kampung yang berani menuntut pendedahan maklumat terperinci cadangan pembangunan sebelum dipersetujui oleh mereka.
"Terlalu cepat bersetuju pada cadangan pembangunan Kerajaan tanpa maklumat mencukupi juga adalah salah dan merbahaya bagi penduduk kampung itu sendiri," ujarnya.
Justeru, Roland yang Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak berharap semua pihak mematuhi perjanjian kerjasama komponen parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan yang komited melakukan pembangunan di kawasan Orang Asal melalui rundingan dengan masyarakat terlebih dahulu.
"Rundingan mungkin mengambil masa yang lama namun Kerajaan dan pimpinan kampung serta wakil rakyat mesti sabar untuk meyakinkan penduduk kampung," ujarnya lagi.
Kelmarin dalam satu kenyataan, Penghulu Benedict Wak dari kawasan Tutoh, Kaunselor Gary Hashim Wan dan beberapa ketua kampung dari Long Terawan dilaporkan membidas seorang aktivis KEADILAN dan beberapa individu lain kerana salah anggap berhubung projek pembangunan empangan tersebut dan beberapa isu lain.
Mereka didakwa menentang projek tetapi tidak melibatkan diri dalam mesyuarat wakil Kerajaan Negeri bersama komuniti tempatan.
Comments