Situasi jangkitan harian Covid 19 dan program vaksinasi yang perlahan masih memerlukan Perak memperbaiki prestasi melawan pandemik sebelum Kerajaan Negeri pergi ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, Peningkatan kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) di Perak amat membimbangkan dan perlu diawasi oleh Kerajaan Negeri sebelum keputusan penting dibuat.
"Jumlah penambahan kemasukan pesakit Covid-19 sejak akhir Jun lepas juga membangkitkan kenyataan saya sebelum ini agar kerajaan negeri tidak terburu-buru untuk melangkah ke Fasa Tiga PPN.
"Mencapai imuniti kelompok dengan segera adalah merupakan pendekatan jangka masa panjang bagi rakyat. Namun saya khuatir masih terdapat rintangan seperti kelewatan baki dos vaksin telah membantutkan proses vaksinasi di Perak.
"Sebagaimana disebut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, persiapan akan dipergiatkan bagi menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 yang diramalkan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini. Hakikatnya ia memperlihatkan sistem kesihatan negara yang selama ini tidak diberikan keutamaan dalam peningkatan taraf," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah menyulitkan, tegas Farhash, sistem kesihatan negara yang terbelenggu dengan masalah doktor kontrak yang gagal diserap sebagai doktor tetap di Kementerian Kesihatan, sehingga menyebabkan berlakunya hartal baru-baru ini.
"Bagai pekung dibuka, apabila #hartaldoktor berlaku, ramai merasakan kebajikan doktor kontrak yang selama ini dianak-tirikan hanyalah salah satu daripada isu pokok bahawa kita memerlukan satu pendekatan proaktif dalam pengurusan negara," katanya lagi.
Sehubungan itu, menurut Farhash, Rakyat perlu bersedia menerima bahawa Covid-19 akan terus berada di dalam komuniti dan belajar mengimbangi hak sebagai seorang individu dan peranan untuk hidup dalam sebuah masyarakat.
Beliau juga memperingatkan insiden sebuah syarikat yang melanggar Prosedur Operasi Piawai (SOP) dengan menganjurkan pemberian durian percuma di Parit Buntar baru-baru ini tidak sewajarnya berulang.
Juga mengenai menteri dan golongan kayangan perlulah jujur dalam perilaku menangani Covid agar perbuatan melanggar SOP mereka tidak diikuti oleh rakyat biasa.
Comentários