Hantar pulang warga Myanmar ancam keselamatan dan nyawa mereka


Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan nasib warganegara Myanmar yang berdepan bahaya jika dihantar ke pulang ke negara asalnya.


Ini selepas Jabatan Imigresen Malaysia baru-baru ini membuat keputusan untuk menghantar pulang 1,200 warganegara Myanmar kepada Angkatan Laut Myanmar yang dilihat mengancam keselamatan mereka.


Dalam kenyataan bersama, Nurul Izzah dan Nurin berpendapat kerajaan seharusnya mengambil kira situasi di Myanmar yang kini berada dalam kudeta tentera dan krisis politik yang berlaku dengan pemimpin parti pemerintahnya, Aung San Suu Kyi dan Presiden, Win Myint kedua-duanya dalam tahanan rumah.


Malah, kajian PBB berkenaan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya membuktikan kebimbangan terhadap tahanan Myanmar yang masuk ke negara itu.


"Walaupun Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Khairul Dzaimee Daud telah menjelaskan bahawa warganegara Myanmar yang akan dikembalikan tidak termasuk "pemegang kad" UNHCR atau pelarian Rohingya, Jabatan Imigresen belum dapat mengesahkan status sebenar tahanan melalui perbincangan dengan UNHCR. Tahanan yang terbaru telah dilarang masuk ke depot imigresen sejak Ogos 2019," katanya.


Pada masa sama, Nurul Izzah dan Nurin mendedahkan bahawa awal tahun ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mengesyorkan agar Kementerian Dalam Negeri memulakan semula rundingannya dengan UNHCR untuk menyelesaikan pendaftaran pelarian yang ditahan di depot imigresen.


Namun kata mereka, keputusan untuk memulangkan tahanan itu tanpa mempedulikan saranan PAC sangat mengecewakan dan meletakkan risiko besar bagi kehidupan mereka.


"Tindakan tersebut juga menghalang usaha sebelumnya untuk memberikan sokongan penjagaan kesihatan kepada masyarakat Rohingya melalui kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerajaan Qatar; serta pengumuman baru-baru ini mengenai pemberian vaksin Covid-19 kepada orang dewasa di negara ini, termasuk warga asing yang tidak berdokumen.


"Kami meminta agar Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen mempertimbangkan kembali keputusannya, sementara menunggu kerjasama menyeluruh dengan UNHCR dan organisasi lain.


"Pendekatan kemanusiaan dan berprinsip, seperti yang telah dilakukan pada masa lalu, terbukti sesuai dengan kedudukan berprinsip kita melindungi semua orang dalam menghadapi wabak ini," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio