top of page

Kawasan pedalaman Sarawak perlukan jalan, klinik, khidmat bomba - Abun

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
2 hours ago
1 min read

Kerajaan Persekutuan diminta memberi perhatian lebih khusus kepada keperluan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak termasuk di Long Lellang dan penempatan sekitarnya dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Jumaat ini.


Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, pembangunan kawasan pedalaman perlu mengambil kira keadaan geografi serta keperluan sebenar masyarakat setempat.


Beliau berkata, rakyat pedalaman tidak meminta layanan istimewa sebaliknya apa yang diimpikan adalah akses kepada kemudahan asas dan keselamatan yang sewajarnya.


"Tiga perkara utama yang saya harapkan diberikan perhatian ialah jalan raya di kawasan pedalaman. Peruntukan yang mencukupi perlu disediakan bagi mempercepatkan pembinaan, naik taraf dan penyelenggaraan jalan raya pedalaman.


"Jalan yang baik merupakan talian hayat masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, bekalan asas dan menjalankan aktiviti ekonomi.


"Kedua ialah penambahan dan pengukuhan klinik kesihatan. Kemudahan kesihatan di pedalaman perlu ditambah dan diperkasakan, termasuk klinik, tenaga kesihatan, ambulans serta kemudahan kecemasan.


"Jarak yang jauh antara penempatan pedalaman dengan hospital memerlukan sistem kesihatan yang lebih dekat dan responsif kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Di samping itu, Abun juga berharap kemudahan bomba dan penyelamatan di STOLport Long Lellang dapat disediakan di kawasan berkenaan.


Katanya, aspek keselamatan penerbangan dan kesiapsiagaan kecemasan perlu diberi perhatian sewajarnya memandangkan fungsi STOLport sebagai kemudahan pengangkutan udara yang penting bagi masyarakat pedalaman.


"Kemudahan tersebut boleh merangkumi pasukan terlatih, kenderaan pemadam kebakaran, peralatan penyelamatan dan kemudahan tindak balas kecemasan yang bersesuaian dengan keadaan STOLport dan geografi kawasan.


"Kejadian kemalangan penerbangan yang berlaku di Long Lellang baru-baru ini menunjukkan betapa pentingnya kesiapsiagaan kecemasan di kawasan pedalaman.


"Ia juga menjadi peringatan bahawa bantuan kecemasan perlu hampir dengan masyarakat dan kemudahan penerbangan yang berisiko," ujar beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page