Ekonomi Malaysia yang dikembangkan diibarat sebuku kek. Beberapa kali kek tersebut telah ditambah saiznya sejak pengenalan Dasar Ekonomi Baru pada 1970an, namun malangnya nasib orang Melayu masih lagi tidak banyak berubah tahap kehidupan dan perekonomian.
Dalam debat Perdana malam tadi, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan kerajaan sepatutnya memperbesarkan kek ekonomi dengan menambah aset negara. Beliau membidas dasar Pakatan Harapan yang pernah menjual aset negara bagi menutup hutang yang ditinggalkan oleh pentadbiran beliau.
Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut, adakah selama ini kek ekonomi telah dikongsi dengan sebaik baiknya dan diagihkan kepada rakyat terbanyak
"Sebab itu kalau kita ada kek, jangan kek itu kita makan seorang. Kek kalau kita besarkan, siapa yang nak tentukan pembahagian itu adil? Kalau kita tengok kek, elit politik yang di atas kaya, yang makan banyak.
"Macam filem, 'satu untuk aku, satu untuk kamu'. Yang untuk kamu sikit, yang untuk aku banyak berbilion. Jadi oleh yang demikian maka (hal ini) bermula dengan masalah pengurusan kerajaan, akauntabiliti, pertanggungjawaban, masalah pembentangan dan perbahasan terbuka (ekonomi di Parlimen)," katanya.
Datuk Seri Anwar juga menjawab hujah Najib bahawa pentadbiran beliau telah memperkenalkan dasar ekonomi terbaik dengan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Anwar mengakui GST cukai terbaik, tetapi buat masyarakat yang kaya dan mempunyai pekerjaan serta makanan cukup, bukan untuk sebahagian rakyat Malaysia yang masih miskin.
"Dibangkitkan soal GST. Saya kata ia sistem cukai yang efisien, tetapi rakyat menganggur ramai atau pendapatan amat rendah, jangan kutip dari dia GST walaupun itu sistem cukai yang demokratik.
"Buat apa kita nak tekan rakyat, dah la miskin, tak cukup makan, sekarang bayar cukai GST. Jadi sebab itu ia harus diteliti semula.
"Jangan (GST) jadi penyelesaian mudah kerana masalah rakyat tak diselesaikan dengan pengenalan beberapa program sahaja. Ia mesti bermula dengan perubahan struktur yang bermula dari atas," katanya.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu turut menjawab soalan moderator berkenaan projek mega dan kesannya yang tidak seberapa kepada rakyat.
Katanya, harus ada projek yang menyeluruh dan negara tidak bergantung kepada satu dua projek besar untuk kemakmuran bersama
"Ada dua pendekatan dasar berbeza, satu keutamaan melihat projek mega, ECRL, Pan Borneo dan sebagainya. Tetapi dia bermula dengan integriti. Jangan kos RM 50bilion jadi RM70 bilion.
"Kalau sekarang ini mutu pendidikan rendah, kemudahan kesihatan tak menyeluruh, bekalan air tak selesai tetapi yang kita nak buat HSR, projek mega (buat apa?).
"Saya tidak pertikai dalam mana mana kerajaan ada keutamaan tetapi hal asas kepada rakyat, pengangguran tak selesai dengan projek mega ini.
"Korea Selatan tak selesai (jadi maju) dengan Hyundai dan beberapa syarikat. Dia bermula dengan pertanian moden yang menyeluruh di seluruh negara. Jangan kita tumpu satu dua hal dan rasa mencukupi. Harus ada tekad politik yang jelas," katanya lagi.
Σχόλια