Pendirian Pas tidak pernah tetap dalam perjuangan politik sejak tiga dekad lalu.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pas hanya memainkan pendapat umum dan menukar musuh politik parti itu menjadi musuh agama sebagaimana yang diungkapkan oleh presidennya Hj Hadi Awang ke atas Umno, DAP dan baru-baru ini, Pakatan Harapan.
"(Secara mudah) kalau bersatu buang pimpinan Pas dalam kabinet sekarang ini, agak-agak akan menjadi musuh Islam tak Bersatu ini?
"Apa prinsipnya (Pas)? Kita tengok dalam Pakatan Rakyat (PR) dulu ada gambar Hadi peluk Kit Siang. MCA ketika itu jadi musuh agama. Sekarang Pas bersama MCA. Maka MCA bukan lagi musuh agama tetapi DAP musuh agama.
"Dulu mereka nak buat RUU 355, macam halilintar nak buat. Dalam kawasan saya pun banyak pimpinan Pas yang senior, yang saya hormat atas kewarakkan mereka.
"Dalam kes RUU 355, itulah perjuangan mereka (pemimpin senior Pas). (Bagi mereka) paling tidak, tunjuklah apa yang pimpinan Pas sekarang mahu buat. Ini sampai langsung tak ada berita.
"Mereka kata kalau kita nak buat rumah, kita tunjuklah nak buat rumah. Paling kurang ratakan tanah. Ini tanah pun tak diratakan, naik rimbun (semak-samun) dah," kata Shamsul dalam forum NRChannelTV bertajuk: "Anti Islam PH atau Pas?" yang dihostkan oleh Zaharin Mohd Yassin, malam tadi.
Ditanya adakah Pas akan memperolehi sokongan rakyat sekali lagi sekiranya terus memainkan isu Melayu - Islam sehingga ke Pilihan Raya Umum kelak, Shamsul mengingatkan rakyat telah semakin matang dan boleh menilai jalur perjuangan Pas setelah mereka diangkat sebagai Kerajaan Persekutuan.
"Pada saya, rakyat telah melalui pelbagai fasa dalam menilai pimpinan politik. Kalau dulu PM yang paling dibenci Najib Razak, sekarang Mahiaddin. Rakyat berubah.
"Jadi sebelum ini mungkin mereka meletakkan segunung harapan kepada pimpinan Pas, sekarang pada saya rakyat boleh menilai," katanya.
Bagi Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, KEADILAN tidak berjuang dengan jalur taksub seperti Pas biar pun pernah berkerjasama dalam Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu.
Katanya, beliau turut tidak senang dengan pendekatan Pas ketika dalam PR yang sering menjauhi sesuatu gerakan atau penyokong parti yang tidak sealiran.
"Isu ini (musuh agama) hanya dilihat dan dipolitikkan untuk meraih sokongan politik bukan untuk pemerkasaan Islam.
"Kita tanya kepada ustaz Hadi apa sebabnya (musuh agama)? Amanat Hj Hadi jelas lawan Umno bukan kerana namanya Umno tetapi Perlembagan penjajah, peraturan jahiliah.
"Sekarang Perlembagaan penjajah lagikah selepas bergabung dengan Umno? Peraturan jahiliah lagikah? Itu amanat dia. Kesan amanat ini merosak hingga ke akar umbi
"Kita pergi ke negeri Pantai Timur, saya pernah bertanding sana pada 2008, berhadapan keadaan yang sukar. Kita ingat masjid sesiapa pun boleh pergi.
"Tetapi ada masjid Umno tak boleh sembahyang, kena masjid Pas. Pada saya ini parah, bukan selari dengan apa yang dinyatakan dalam kitab suci al Quran. Adakah ini berakhlak? Adakah mengikut nilai-nilai yang murni dalam agama kita? Ini budaya perpecahan.
"Saya tidak tuduh ustaz Hadi memecahkan hubungan umat Islam di Malaysia. (tetapi hal ini) kalau tidak dibendung dengan penjelasan dan fakta yang jelas, akan menyebabkan kita berhadapan generasi yang buta apa Islam sebenarnya," katanya.
Mengenai Islam di dalam KEADILAN pula, Shamsul menjawab soalan moderator dengan mengajak penonton meneliti Perlembagaan KEADILAN.
Katanya, KEADILAN juga mempunyai ketetapan untuk memelihara Islam sebagai agama rasmi, pertahan Raja-raja Melayu dan sebagainya.
"Saya ingin mengalakkan orang di luar cari di Google, tulis perlembagaan Parti Keadilan Rakyat. Di sana terdapat 17 perkara yang kita nyatakan secara jelas mengenai agama, Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan sebagainya.
"Malah seingat saya pada 2008. Sewaktu kita dalam PR memenangi negeri Perak, Selangor, waktu itu sudah ada kesepakatan antara ketiga-tiga parti, saudara Anwar, Lim Kit Siang dan Hadi Awang, di mana kita memperakui pertama kita pertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu, pertahan Raja-raja Melayu, pertahan agama, bahasa.
"Ini semua kerangka yang jelas, pada saya orang yang tidak mahu mendengar sahaja akan terperangkap dengan dakyah, kerana dari segi perakuan kita, kita konsisten sampai jadi kerajaan PH," katanya lagi.
Opmerkingen