Jurucakap Kerajaan perlu sampaikan semua maklumat pastikan rakyat faham


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) mendedahkan tugas sebagai Jurucakap Kerajaan menuntut beliau memberi penjelasan mengenai pelbagai isu yang menjadi perhatian rakyat, termasuk perkara yang berada di luar bidang kuasa kementeriannya.
Menceritakan perkara itu menerusi rancangan bual bicara khas Kerusi Biru di platform Youtube KEADILAN, katanya, tanggungjawab berkenaan menyebabkan seolah-olah setiap isu atau maklumat yang tidak berjaya sampai kepada rakyat, akan dikaitkan dengan dirinya walaupun perkara itu membabitkan kementerian atau agensi lain.
"Kadang-kadang bukan bidang kita pun, tetapi seolah-olah apa-apa yang berlaku, kalau maklumat tak sampai ke akar umbi, salah Fahmi Fadzil.
"Walaupun mungkin isu itu melibatkan kementerian lain yang ada bajet untuk buat kerja-kerja penerangan, ada pasukan Unit Komunikasi Korporat dan ada Setiausaha Akhbar kepada Menteri, tetapi kalau mesej itu tidak berjaya sampai, maka yang salah itu masih (kepada) Fahmi Fadzil," katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tetap optimis dalam menghadapi cabaran berkenaan sambil menganggapnya sebagai satu amanah untuk disampaikan kepada masyarakat.
Mengambil contoh isu kenaikan bil elektrik, Fahmi berkata, beliau turut mengambil inisiatif memberi penjelasan mengenai perkara itu walaupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan berada di bawah kementeriannya.
Katanya, beliau berbuat demikian kerana menyedari isu berkenaan sedang menjadi perhatian dan menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai selain mempunyai hubungan baik dengan pihak TNB memandangkan ibu pejabat syarikat utiliti itu terletak dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai yang diwakilinya.
"Contoh isu bil TNB naik, saya dah maklumkan walaupun TNB bukan bawah saya. Jadi saya gunakan peluang itu untuk sampaikan dan maklumkan berdasarkan analisis bahawa orang ‘tengah panas’ tentang isu TNB ini.
"Jadi saya rasa, dalam isu TNB ini kenapa sampai PM (Datuk Seri Anwar) nak kena jawab? Jadi saya ambil kesempatan sampaikan (isu) ini kepada pasukan (saya) bahawa kita kena buat sesuatu dan (saya) ada cadangkan beberapa perkara.
"Disebabkan rasa tanggungjawab, kalau apa-apa berlaku, mesti usaha untuk cuba leraikan (sesuatu isu)," ujar beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN.




Comments