JPN nafi dakwaan tular data peribadi rakyat Malaysia bocor
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya berlaku kebocoran data peribadi melibatkan sistem jabatan tersebut.
Menerusi satu kenyataan JPN menegaskan, dakwaan dikitar semula itu merujuk kepada insiden yang telah ditangani pada 2021 serta 2022, melibatkan sebuah agensi luar yang menyimpan data bagi tujuan penyampaian perkhidmatan.
"Susulan insiden tersebut, laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat, manakala mekanisme perkongsian data dengan agensi luar turut diperkukuh serta diperketatkan.
"Jabatan ingin menegaskan tiada sebarang kebocoran data, transaksi mencurigakan atau kompromi keselamatan pernah berlaku melibatkan sistem teras JPN.
"Sistem JPN kekal beroperasi dengan tahap kawalan keselamatan yang tinggi serta dipantau berterusan bagi memastikan data rakyat sentiasa dilindungi," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menerusi hantaran sama, JPN memberi jaminan akan terus memperkukuh langkah keselamatan siber dan tadbir urus data bagi memastikan integriti, kerahsiaan serta keselamatan maklumat rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.




Comments