top of page

'Jom Santai Belia!' KEADILAN Wangsa Maju Santuni Permasalahan Anak Muda



Oleh: Andre Lai Chen Heng


PENDAPAT: KEADILAN Cabang Wangsa Maju mengambil inisiatif menganjurkan satu program santai bersama komuniti belia yang dinamakan 'Jom Santai Belia!’ pada 27 Disember 2023.


Sesi pertama diadakan di Kedai Nizam Cendol Goncang di Sri Tioman 2, Taman Melati di sini dengan kehadiran seramai 60 anak muda dari pelbagai latar belakang pendidikan.

Ini merupakan satu dialog belia yang unik kerana para peserta terdiri daripada beberapa kumpulan terdiri daripada graduan, kelab belia, profesional muda, peniaga kecil-kecilan dan pengamal ekonomi gig.


Hayee, Mustafa dan Rais – masing-masing datang dari kawasan perumahan berbeza; dari rumah pangsa ke rumah kampung di sekitar Wangsa Maju ini. Masing-masing mempunyai keperluan dan corak kerjaya tersendiri.


Malah tempat yang dipilih untuk program ini juga kepunyaan seorang anak muda bernama Nizam. Cendol berharga RM1 secawan dan mee bandungnya telah menjadi buah mulut warganet baru-baru ini.


Program ini tiada agenda yang spesifik dan memberi ruang terbuka kepada semua anak muda yang hadir untuk berkongsi permasalahan dan impian mereka melihat negara ini ditadbir dengan lebih baik.


Begitu juga dengan artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman saya sebagai ahli politik. Dalam sesi santai ini kami menyelami secara mendalam corak pemikiran anak-anak muda masa kini.


Anak muda punya pengetahuan mengagumkan


Amat mengejutkan, mereka sebenarnya memiliki kebolehan dan pengetahuan yang tidak dapat dibayangkan jika dibandingkan dengan zaman saya sendiri membesar sekitar tahun 90-an lalu.


Kumpulan belia hari ini mampu bergerak dengan pantas, sepantas pemikiran mereka yang amat kreatif dan inovatif bercakap menurut fakta dan hujah.


Mereka tidak mudah dipengaruh oleh mana-mana pihak, tetapi hanya kerana kekurangan komunikasi dan 'engagement' menyebabkan mereka tidak berada di dalam haluan yang sama.


Sesi ini langsung tidak mempunyai kekangan dalam segi bahasa mahupun latar belakang. Para belia yang hadir majoritinya berbangsa Melayu lebih selesa bergaul dengan saya yang berbangsa Cina.


Dialog bersama belia semalam, membuktikan anak muda akar umbi telah bersedia menerima komuniti muhibbah tanpa mengira bangsa dan agama asalkan suara mereka didengar dan diambil perhatian sewajarnya.


Realiti politik jahiliah


Namun di sebalik realiti ini, ramai lagi pemimpin yang berpendapat kononnya orang Melayu harus bertanding di kawasan majoriti Melayu dan Cina harus bertanding di kawasan majoriti Cina.


Andre Lai (dua dari kiri) berdiskusi memahami keresahan anak muda

Keadaan sebegini tidak memberi peluang saksama kepada bangsa India sebagai golongan minoriti seperti Orang Asal kerana tidak ada satu pun kerusi yang mempunyai majoriti bangsa mereka di Wilayah Persekutuan.


Kenyataan pemimpin Pas Wilayah Persekutuan baru-baru ini berkenaan dengan fitnah kononnya dominasi kaum bukan Melayu di kerus Parlimen Wilayah Persekutuan menunjukkan bahawa masih ada yang berada dalam zaman jahilliah.


Sebenarnya, belia pada lingkungan umur antara 20 hingga 35 tahun hari ini mempunyai pemikiran yang amat berdikari. Pada pengamatan saya, mereka hanya perlu diberi platform untuk berkongsi pendapat dan luahan tentang apa yang mereka hadapi dan lalui sepanjang tahun ini.


Tak perlu ada pengalaman ‘ala-otai berpuluh tahun’ mengajar mereka kerana belia hari ini telah mempunyai akses kepada ilmu memadai untuk mengharungi masa depan.

Komunikasi positif anak muda


Sebaliknya, saya insaf, rupanya kami kena kerap berkomunikasi dengan mereka kerana dengan komunikasi proaktif, kami mendapat maklum balas yang lebih jujur dan telus tanpa sebarang ketakutan.


Sedikit dorongan positif sebegini mampu menggerakkan mereka lebih jauh dengan pemikiran kritis dan tuntas sesuai dengan jiwa ‘kebebasan’ yang mereka miliki sekarang.

Saya tertarik dengan filem Pendatang yang banyak mencetus kontroversi baru-baru ini.


Filem yang mendapat banyak anugerah membawa kejutan bukan sahaja disiarkan di Youtube secara percuma malah menonjolkan satu jalan cerita yang di luar kotak (out of the box).


Ia berlatar belakangkan sebuah Malaysia distopia yang tidak lagi bersama Sabah dan Sarawak kerana peristiwa 927 (dipercayai sebuah pergolakan antara kaum yang besar).


Hasil daripada pentadbiran yang huru-hara, penduduk terpaksa diasingkan mengikut ethnik masing-masing ala-zaman Apartheid, seperti dalam projek ketenteraan British yang dinamakan Rancangan Briggs pada 1950an. Natijahnya adalah penempatan semula dan penubuhan Kampung Baru yang berselerak di seluruh negara.


Filem ini membawa mesej halus ketidakadilan terhadap komuniti disebabkan oleh pemimpin politik yang feudal yang enggan menerima konsep perpaduan dan kenegaraan, sebaliknya mulut masih mengeluarkan sentimen perkauman setiap hari.


Bukan sahaja pengasingan status dan etnik, malah pengasingan jurang umur juga masih berlaku di zaman moden ini. Anak muda sering tidak diberi peluang setimpal kerana secara tradisi, ‘senioriti’ dan status komuniti menjadi piawai untuk kejayaan hidup yang lebih tinggi.


Belia bergerak pantas


Mungkin ada yang mengatakan belia senang memberontak, tetapi saya berpendapat, mereka bergerak lebih laju tidak bermaksud mereka salah.


Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim satu ketika dahulu merupakan pemimpin belia semasa mengetuai demonstrasi Baling pada 1974 memperjuangkan isu harga getah jatuh sebelum menyertai politik pada 1982.


Dan setelah menjadi Perdana Menteri, sesi Temu Anwar pula menjadi platform mendekati anak muda serta golongan mahasiswa termasuk anak muda p-hailing di Petaling Jaya tahun ini.


Oleh itu, jangan memperlekehkan mereka yang muda. Bak kata bekas Presiden Indonesia, Bung Karno, "Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia".


Satu malam panjang berkongsi suara anak muda ditemani cendol yang sedap dan mee bandung yang mantap, kepuasan dapat mendengar serta menyantuni mereka tak mampu diungkap.


Harapnya ‘Langkah Mee Bandung’ ini pula yang akan merubah hidup anak muda ini selamanya. Siapa tahu kan?

_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page