
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi parlimen Padang Serai, Dr Mohamad Sofee Razak berjanji akan membawa masalah penduduk Padang Serai ke pengetahuan Menteri Kerajaan Perpaduan.
"Sepanjang tempoh kempen saya saya telah jumpa pelbagai golongan, antaranya pelajar, kanak kanak, dewasa, orang lama. Di antara isu dibangkitkan adalah kemudahan asas dan kemudahan awam.
"Pagi tadi kami berkempen mereka bawa kami tengok jalan, masalah parit, lampu jalan. Bila kita jumpa orang muda mereka bangkitkan isu pekerjaan yang sangat kurang dan saya jumpa masyarakat di pasar pagi, pasar malam dan sebagainya di antara mereka bangkitkan tempat berniaga tidak selamat, mereka mahu kemudahan lebih selesa.
"Mereka juga bangkit isu insentif dari pihak kerajaan. Penaga kecil pula bukan buat side income tetapi punca pendapatan utama. Ada penjaja terpaksa berhutang dengan along dan akhirnya hutang tak selesai, pendapatan harian bayar kepada along. Itu di antara masalah yang kami temui," katanya.
Justeru, sebagai wakil rakyat kerajaan Dr Sofee bertekad untuk menyelesaikan masalah berkenaan kerana sejak sedekad lalu parlimen Padang Serai adalah kawasan pembangkang dan kurang dibangunkan.
"Seperti mana sering saya sebut, saya calon parti Kerajaan Perpaduan. Saya mengharapkan pengundi di Padang Serai memberi peluang untuk memudahkan saya sebagai penghubung suara rakyat ke parlimen, kerajaan dan ke Perdana Menteri.
"Sekiranya saya diberi peluang sebagai Ahli Parlimen, saya akan cuba pastikan aduan, cadangan diangkat ke parlimen dan ke pihak kerajaan," katanya lagi.
Comments