Jika BN-PN bela Melayu, Tabung Haji telah lama dipulihkan - Fakharuddin
- Sidiqin Omar

- 4 hours ago
- 2 min read

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melepaskan peluang untuk menyelesaikan isu Tabung Haji ketika mentadbir negara dari tahun 2020 hingga 2022, walaupun pelbagai persoalan mengenai pengurusan institusi itu telah didedahkan sejak era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 pada 2018-2020.
Ketua Cabang KEADILAN Tenggara, Fakharuddin Moslim (gambar) berkata, isu berkaitan kedudukan kewangan dan tadbir urus Tabung Haji bukanlah perkara baharu kerana ia telah dibangkitkan ketika PH mentadbir kerajaan pada 2018 hingga 2020.
Menurut beliau, selepas PH tumbang dan pentadbiran diambil alih oleh PN yang diterajui parti-parti Melayu tiada tindakan tegas diambil bagi meneruskan siasatan atau menyelesaikan isu berkenaan.
"Jika benar Umno dan Pas serta parti-parti yang membentuk kerajaan PN begitu prihatin terhadap kepentingan orang Melayu, mengapa isu Tabung Haji tidak diselesaikan ketika mereka mempunyai kuasa mentadbir negara antara tahun 2020 hingga 2022?
"Mereka mempunyai ruang dan kuasa untuk bertindak, tetapi rakyat tidak melihat sebarang penyelesaian yang menyeluruh terhadap isu yang telah didedahkan sebelum itu," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Katanya pada ketika pemerintahan PN-BN, isu yang timbul hanyalah aset TH dijual kepada bukan Islam tanpa menunjukkan sebarang bukti.
Tambah Ketua Penerangan KEADILAN Johor itu, hanya selepas Kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim barulah usaha memperkukuh integriti institusi itu diteruskan sehingga membawa kepada pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan tindakan susulan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kerajaan hari ini menunjukkan kesungguhan untuk memastikan setiap dakwaan disiasat mengikut undang-undang dan mereka yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.
"Ini membuktikan kerajaan MADANI bukan sekadar bercakap mengenai ketelusan, tetapi melaksanakannya melalui tindakan," katanya.
Beliau berkata, dakwaan bahawa kerajaan pimpinan Anwar tidak menjaga kepentingan orang Melayu juga tidak berasas kerana usaha memulihkan tadbir urus Tabung Haji adalah langkah bagi melindungi simpanan jutaan pendeposit yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu dan umat Islam.
Fakharuddin menambah isu Tabung Haji perlu dijadikan pengajaran bahawa tadbir urus yang baik dan ketelusan adalah asas penting untuk memastikan institusi yang mengurus kepentingan rakyat terus diyakini dan hanya Pakatan Harapan sahaja yang memperjuangkan isu berkenaan.
"Apabila kerajaan bertindak memulihkan institusi yang mengurus dana orang Melayu, itulah bukti bahawa kepentingan mereka sedang dipelihara.
"Menjaga orang Melayu bukan dengan memainkan sentimen politik, tetapi memastikan institusi yang mengurus wang mereka ditadbir secara telus, berintegriti dan bebas daripada salah guna kuasa," katanya lagi.




Comments