top of page

Jerebu: Lokasi, skala sambutan Hari Kebangsaan akan dibincangkan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mengadakan perbincangan petang ini bagi menentukan skala, lokasi dan langkah yang perlu diambil berhubung sambutan Hari Kebangsaan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan negara.


Perkara tersebut dimaklumkan Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.


Fahmi berkata, Jemaah Menteri telah mengambil maklum daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengenai keadaan jerebu yang sedang melanda negara termasuk di Putrajaya dan Kuala Lumpur selain di Sarawak yang turut banyak terkesan.


"Maka Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa Tan Sri Shamsul ditugaskan untuk mengadakan satu perbincangan dengan semua jabatan yang berwajib (petang ini) dan juga (termasuk) pihak Kementerian Komunikasi sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan menguruskan sambutan Hari Kebangsaan.


"... (ia) sama ada untuk mengubah skala, lokasi atau untuk meneruskan di lokasi sama iaitu di Dataran Putrajaya menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.


"Ini juga termasuk program hari Ambang Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos bertempat di Dataran Merdeka anjuran DBKL dan juga CIMB," katanya.


Menurut Fahmi lagi, perbincangan itu akan menentukan skala, lokasi dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh penganjur bagi menjamin keselamatan dan kesihatan bukan sahaja pengunjung, malah peserta yang terlibat dalam sambutan berkenaan.


Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, sambutan berkenaan tidak akan dibatalkan, sebaliknya kemungkinan perubahan dari segi skala atau lokasi masih dalam dipertimbangkan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page