Jenayah siber tanpa sempadan, kerugian cecah RM2.97 bilion - Saifuddin
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 2 min read

Malaysia memberi amaran mengenai ancaman jenayah siber tanpa sempadan yang semakin serius ketika sindiket antarabangsa memanfaatkan teknologi moden untuk menyasarkan mangsa di seluruh dunia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ancaman itu turut memberi kesan besar kepada Malaysia apabila 66,204 kes jenayah siber dengan kerugian RM2.97 bilion direkodkan sepanjang tahun lalu.
Beliau mendedahkan angka itu hampir dua kali ganda berbanding 35,368 kes dan kerugian RM1.57 bilion yang dicatatkan pada 2024.
"Di sebalik setiap angka ini ada seorang manusia. Seorang rakyat yang kehilangan simpanannya. Sebuah keluarga yang ditipu oleh scam. Seorang pekerja yang terperangkap oleh sindiket. Seorang kanak-kanak yang maruahnya dirampas.
"Jenayah siber bukan sekadar isu teknologi. Ia adalah isu keselamatan. Ia adalah isu penguatkuasaan undang-undang. Bagi KDN, menjadi tanggungjawab kami untuk melindungi rakyat.
"Apabila penjenayah mengubah cara mereka melakukan jenayah, kita mesti mengubah cara kita melindungi rakyat," katanya ketika berucap merasmikan 6th International Cyber Resilience Conference (CRC 2026) di Bangi hari ini.
Saifuddin berkata statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini turut menunjukkan jumlah kes penipuan dalam talian pada 2025 meningkat 87 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata ancaman itu bukan hanya membabitkan kerugian kewangan malah turut memberi kesan terhadap keselamatan kanak-kanak, dengan dianggarkan 100,000 kanak-kanak berdepan eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian setiap tahun.
Menurutnya kes bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) meningkat daripada 68 kes pada 2024 kepada 152 kes tahun lalu, manakala 100 lagi kes direkodkan sehingga pertengahan tahun ini.
Ancaman sindiket rentas sempadan juga semakin membimbangkan apabila setakat 28 Ogos lalu, seramai 746 rakyat Malaysia menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara, ujarnya.
Dalam masa sama jelas beliau, menerusi Op Pintas Khas, PDRM berjaya menyelamatkan 138 mangsa buruh paksa dalam 77 serbuan di seluruh negara.
Saifuddin berkata perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks apabila sindiket menggunakan teknologi moden untuk menyasarkan mangsa tanpa mengira negara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) sebelum ini menganggarkan rangkaian jenayah terancang yang terbabit dalam penipuan siber di Asia Tenggara mampu menjana antara AS$27.4 bilion hingga AS$36.5 bilion setahun.
Beliau berkata teknologi yang mempercepat pertumbuhan ekonomi dan memudahkan kehidupan rakyat pada masa sama membuka ruang kepada bentuk ancaman baharu yang tidak memerlukan penjenayah berada secara fizikal berhampiran mangsa.
"Apa yang perlu kita fahami, ini adalah jenayah seluruh dunia. Sindiketnya beroperasi di seluruh dunia. Mereka menggunakan peralatan moden dan mangsanya berada di setiap negara di dunia," katanya.
Menurut Saifuddin persekitaran yang selamat dan stabil amat penting bukan sahaja kepada rakyat malah kepada perniagaan, inovasi serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Justeru itu katanya cabaran KDN kini adalah memastikan tahap keselamatan negara yang dinikmati rakyat turut dapat dipertahankan dalam ruang digital ketika bentuk dan kaedah jenayah terus berubah.
"Serangan siber boleh mencederakan sebuah keluarga, perniagaan atau ekonomi kita tanpa meninggalkan satu pun kecederaan fizikal.
"Jadi, KDN berdepan satu persoalan asas. Jenayah itu sendiri sedang berubah. Bagaimana kita memastikan rakyat terus selamat dan melindungi kemajuan yang telah kita bina?" katanya.




Comments