top of page

Jemaah Menteri nasihati Agong: Apa peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat?


Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hasan mengenai Jemaah Menteri akan menasihati Yang di-Pertuan Agong samada darurat perlu dilanjutkan atau tidak, sebagai reaksi terhadap kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menimbulkan pelbagai tanda tanya yang sukar dijawab.


Menurut Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, jawatankuasa tersebut sepatutnya berperanan menasihati Agong sebagaimana tujuan penubuhannya di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, dan bukannya Jemaah Menteri sepertimana pada waktu bukan darurat.


"Pada 12 Januari lalu Perdana Menteri mengumumkan darurat berkuatkuasa. Hal ini setelah Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan nasihat Jemaah Menteri yang disampaikan oleh Perdana Menteri dan sesuai Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi diisytiharkan Proklamasi Darurat. Seterusnya pada 14 Januari, Ordinan Darurat dibuat dan berkuatkuasa.


"Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat diperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Dengan penubuhan itu kerajaan telah membuat pengecualian untuk jawatankuasa tersebut menasihati Agong mengenai darurat.


"Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitu “menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya”. Dan sehingga sekarang jawatankuasa itu masih wujud serta berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada Agong.


"Oleh itu, kenyataan Menteri Takiyuddin semalam amat mengelirukan, sekaligus menimbulkan banyak persoalan," kata Saifuddin dalam kenyataan, hari ini.


Bagi Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, sekiranya selepas Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ditubuhkan maka Jemaah Menteri masih berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong, maka apakah keperluannya jawatankuasa berkenaan diteruskan kewujudannya.


"Apakah fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati Agong tentang tarikh darurat ditamat atau disambung kini diambilalih oleh Jemaah Menteri?


"Apakah ini bermaksud ketika darurat berjalan di bawah Ordinan Darurat sekalipun, kuasa Jemaah Menteri menasihati Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dianggap terpakai termasuk dalam perkara menamatkan atau melanjutkan tempoh darurat?


"Jika itu benar apa keperluan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini diwujudkan?" tanya Saifuddin.


Oleh itu, beliau mengesa Menteri Takiyuddin segera memberi penjelasan agar rakyat tidak terkeliru dengan situasi terbaharu ini.


"Sebagai seorang ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong saya ingin memohon Takiyuddin segera tampil memberikan penjelasan.


"Hal ini akan membantu saya untuk membuat keputusan bersabit kedudukan dan peranan saya dalam jawatankuasa ini," katanya lagi.


Semalam, Takiyuddin berkata, menjadi tanggungjawab jemaah menteri untuk terus menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.


Katanya, keputusan dibuat setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page