Jawatan parti dipertanding atau tidak terserah kepada anggota- Yahya Sahri
- Suara Keadilan
- Feb 16
- 2 min read

Pemilihan KEADILAN peringkat cabang sehingga pimpinan tertinggi parti dari Mac hingga Mei tahun ini membuka polemik sama ada jawatan utama parti perlu dipertandingkan atau tidak.
Bagi anggota senior KEADILAN, Mohd Yahya Mat Sahri, persoalan tersebut terserah kepada ahli atau pimpinan cabang apakah mereka bersetuju jawatan tertentu dipertanding atau tidak dipertandingkan.
"Kalau tanya saya secara peribadi tidak ada istilah menyekat sesiapa. Sebab tiada sekatan dalam perlembagaan parti, peraturan, sesiapa nak bertanding boleh saja.
"Usul dari siapa nak jawatan tidak dipertandingkan itu juga terbuka. Asal saja mendapat sokongan daripada semua cabang.
"Kalau anggota cabang semua bersetuju presiden tidak dipertandingkan, maka tiada pertandingan. Kalau timbalan perlu ada pertandingan maka namanya siapa (calon)," katanya ketika ditemui selepas sesi Taklimat Pemilihan Parti dan Kongres Nasional Tahunan di Shah Alam, semalam.
Tambah Yahya yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), proses pertandingan sebenarnya boleh meremajakan parti. Lebih banyak calon calon pelapis kepimpinan sedia ada boleh dicungkil melalui pertandingan dan kempen yang dijalankan.
Cuma, kata Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri itu, kemungkinan dalam waktu berkempen calon calon menggunakan hujah yang tajam dan memberi masalah kepada parti maka mungkin wujud keperluan jawatan tertentu tidak dipertandingkan.
"Saya tidak menolak akhirnya untuk memudahkan gerak kerja (menjelang pilihanraya), supaya parti stabil, bila mana mengadakan pertandingan itu, mungkin ada pukulan tajam, proses kempen cakap tajam yang kita cuba elakkan.
"Maka ada baik untuk tidak ada pertandingan. Itu kalau difikir pimpinan (sedemikian)...," katanya yang yakin ahli KEADILAN amat dinamik dan boleh memahami hikmah sesuatu keputusan yang dibuat oleh pimpinan.
Ditanya apakah beliau akan mempertahakan jawatan MPP, Yahya yang juga antara pengasas KEADILAN Selangor berkata beliau telah berada di jawatan itu sejak tahun 2000.
"Saya terus pertahan (jawatan) MPP. Dalam pemilihan lepas saya top 5. Saya juga ahli senior. Saya jadi MPP dari mula penubuhan parti, sejak tahun 2000," katanya.
Pesan Yahya kepada anggota yang mahu bertanding ialah mereka perlu meraikan demokrasi dan berkempen secara berhemah.
"Kalau siapa nak bertanding silakan, sebagai salah satu daripada kehendak parti. Meraikan demokrasi. Sekarang semua jawatan bayar yuran, sekurang kurang menderma kepada parti (dengan bertanding)," ujar Ketua Cabang Tanjung Karang itu lagi.
Comments