Jangan maki PM, waktu Pas dalam kerajaan cabutan judi bertambah - Amidi
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Pemimpin perlu menunjukkan contoh akhlak yang baik dan mengelakkan makian terhadap sesama Muslim, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar).
Beliau berkata penggunaan perkataan “celaka” seperti yang diungkapkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramahnya berhubung isu lesen judi di Kedah semalam merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.
"Makian ‘celaka’ sebagaimana yang diungkapkan adalah perbuatan yang amat tidak wajar," kata Amidi dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Amidi turut menegur Sanusi kerana menyalahkan Perdana Menteri selepas gagal dalam cabaran di mahkamah menolak lesen judi di Kedah, kerana negeri itu melarang pihak berkuasa tempatan membenarkan premis digunakan bagi aktiviti perjudian.
Amid berpendapat, Sanusi seharusnya bertanya mengapa hal berkenaan tidak diselesaikan sewaktu Pas menajdi sebahagian Kerajaan Persekutuan pada 2020 - 2022 lalu.
Malah kata beliau, pemimpin Pas bukan berjuang mengharamkan judi, sebaliknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu menaikkan jumlah cabutan khas daripada lapan kepada 22 kali setahun.
"Sanusi mungkin lupa ketika PN bersama BN menaikkan jumlah cabutan khas nombor ramalan perjudian dari lapan kali kepada 22 kali setahun, juga merupakan satu ‘kesialan’ dan ‘pelaq’ bagi umat Malaysia.
"Maka penurunan kembali dari 22 kali kepada lapan kali setahun cabutan khas nombor ramalan ketika zaman MADANI merupakan satu keberkatan dari kecerdasan seorang pemimpin iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Amidi berkata langkah mengurangkan jumlah cabutan khas kepada lapan kali setahun selepas PM Anwar mengambil alih kuasa mencerminkan usaha membanteras perjudian dan dosa besar yang dilarang dalam Islam.
"Langkah mengurangkan jumlah cabutan khas setahun oleh Datuk Seri Anwar membayangkan kesungguhan beliau untuk membanteras dosa besar seperti yang diajar oleh risalah Islam," katanya.
Dalam pada itu, Amidi berkata kewujudan premis nombor ramalan tidak seharusnya dilihat sebagai satu-satunya punca orang ramai terdorong untuk berjudi.
"Menyalahkan kewujudan premis nombor ramalan sebagai punca galakan orang ramai berjudi adalah sama dengan perbuatan menyalahkan Allah yang menjadikan buah anggur dan diproses menjadi minuman yang memabukkan," jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin yang mendakwa membawa perjuangan Islam seperti Pas seharusnya menjadi teladan dari segi pertuturan dan akhlak.
Amidi merujuk kisah Nabi Musa AS yang diperintahkan Allah SWT supaya berdepan dengan Firaun menggunakan kata-kata yang lemah lembut seperti disebut dalam Surah Taha ayat 44 yang mafhumnya, Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga dia beringat dan atau takut.
"Dari firman Allah ini bermaksud tiada tempat untuk bahasa yang kesat, kasar dan biadab dikeluarkan sesama Muslim," katanya lagi.




Comments