Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan penolakan usul yang dibawa beliau dan Ahli Parlimen Beruas untuk berbahas dan mengundi berkenaan isu-isu Proklamasi Darurat.
Katanya, Speaker tidak seharusnya menolak usul tersebut menggunakan hal-hal teknikal. Beliau juga menegur Speaker kerana menggunakan peruntukan tertentu bagi mengelak mengadakan sidang penuh Parlimen.
"Saya rujuk kepada kepada usul yang saya kemukan pada 12 Julai lalu dan ditolak oleh Yang Dipertua.
"Saya faham Peruntukan 11 (3) yang disebut oleh menteri dan ini bukan perkara baru. Tetapi 11 (3) itu merujuk perkara spesifik dan khusus bukan polisi kebangsaan, tidak seperti yang mahu kita bincang, soal Covid, kesihatan, kewangan, ini untuk menyalahgunakan isu teknikal dan mengenepikan isu pokok.
"Inilah yang dilakukan kerajaan sekarang dan diperaku oleh Speaker. Memang 11 (3) ada rekod dan kita tidak pertikai soal kuasa dan semangat mesyuarat dewan di mana Perdana Menteri ada kuasa 11(3). Yang saya bawa juga oleh Beruas ialah semangat Perlembagaan Perkara 150 (3). Saya tidak mahu Speaker kata saya tidak setuju semua.
"Jawapan Speaker itu saya (hantar) usul tidak cukup tarikh. Menteri bagi maklumat mesyuarat, tarikh diberikan, bukan notis dari Parlimen, saya akui.
"Jika saya beri (lewat), kemudian Speaker nanti kata tidak cukup tarikh, jadual. Saya beri dua minggu (awal) you kata notis tak ada. Ini teknikal sengaja untuk memadamkan prinsip pelembangaan 150 (3)," katanya dalam ucapan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat pagi ini.
Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menyentuh mengenai tindakan Perdana Menteri yang menderhaka titah Yang di-Pertuan Agong melambat-lambatkan sidang Parlimen dan memutuskan untuk hanya membuat mesyuarat khas.
"Kita dalam krisis politik, ekonomi dan Perlembagaan. Jarang sekali sejak merdeka Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong keluar kenyataan tegas sebanyak 3 kali.
"Agong beri (titah) khusus minta adakan segera sidang, berbahas. Bahas maknanya sesi Parlimen biasa, bukan 11(3)
"Titah itu kalau melanggar prinsip Perlembagaan, kalau kita andaikan, ada ruang kita kemukakan balik kepada Agong meminta tafsiran yang benar. Tetapi kes ini Agong dan Raja Melayu mengambil kira penderitaan rakyat dan semangat mengikut prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
"Titah yang jelas. Kalau engkar maknanya derhaka. PM agak berani, kalau engkar. Dalam konteks ini saya tidak mahu Yang Dipertua Dewan sama terpalit dalam penderhakaan ini," katanya lagi.
Comments