top of page

Jangan gadai kestabilan politik demi percaturan kuasa - Dr Fuziah

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
12 hours ago
2 min read
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Fuziah Salleh
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Fuziah Salleh

Cadangan pembubaran Parlimen ketika Kerajaan Perpaduan masih mempunyai sokongan majoriti tidak wajar dibangkitkan dengan mudah, apatah lagi jika isu asal hanya berkaitan rombakan Kabinet.


Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Fuziah Salleh berkata rombakan Kabinet tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membuka semula episod ketidaktentuan politik yang pernah melanda negara.


"Kerajaan bertukar, Perdana Menteri silih berganti, sedangkan rakyat terus menunggu penyelesaian kepada masalah kehidupan mereka.


"Pengalaman itu sepatutnya cukup mengajar kita betapa mahalnya harga sebuah kestabilan politik," kata beliau dalam hantaran di Facebook.


Laporan media tempatan semalam memetik Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu berbanding melakukan rombakan Kabinet susulan perkembangan kedudukan beberapa anggota pentadbiran kerajaan termasuk peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.


Cadangan itu menarik perhatian kerana Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri sebelum ini menegaskan BN komited menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15 meskipun kerjasama tersebut akan berakhir sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.


Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata pengalaman ketidaktentuan politik sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran khususnya ketika rakyat berdepan kesan pandemik Covid-19, kehilangan pekerjaan dan tekanan kos sara hidup.


Beliau berkata, dalam tempoh tersebut negara menyaksikan pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri silih berganti ketika rakyat sedang bergelut dengan kesusahan ekonomi serta menunggu penyelesaian terhadap masalah kehidupan mereka.


"Pengalaman itu sepatutnya cukup mengajar kita betapa mahalnya harga sebuah kestabilan politik," katanya.


Tumpukan agenda pembangunan


Fuziah berkata selepas hampir empat tahun Kerajaan Perpaduan dibentuk, negara kini mempunyai ruang untuk memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kepentingan rakyat.


Kata beliau pelaburan, peluang pekerjaan, kos sara hidup serta reformasi institusi yang sekian lama diperjuangkan dapat diberikan perhatian lebih serius dalam suasana pentadbiran yang stabil.


Beliau turut menegaskan usaha memperkukuh tadbir urus, membanteras rasuah dan memperbaiki institusi negara memerlukan kesinambungan dasar serta pentadbiran yang stabil supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat.


"Perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin boleh dibincangkan. Tetapi jangan sampai percaturan politik mengganggu kestabilan yang sedang kita bina," katanya.


Fuziah mengingatkan pemimpin supaya tidak meletakkan kepentingan politik dan kedudukan kuasa mengatasi masa depan negara serta kesejahteraan rakyat.


"Negara ini bukan medan untuk memenuhi percaturan politik mana-mana pemimpin. Rakyat sudah terlalu lama menanggung akibat ketidaktentuan politik.


"Jangan sekali lagi kepentingan politik diletakkan mengatasi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page