Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak wajar terus menekan aktivis sosial dari menyuarakan suara hati atau para seniman untuk berkarya.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan kerajaan PN menginjak kebebasan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan hanya akan memburukkan masa hadapan negara.
"Berita mutakhir ini terkait penahanan dan pelecehan terhadap para aktivis seperti Fahmi Reza dan Mukmin Nantang oleh pihak berkuasa adalah cukup memprihatinkan serta usaha melampau dalam menekan kebebasan bersuara dan bereskpresi.
"Sikap dan perilaku pemerintah menginjak kebebasan yang dijamin Perlembagaan adalah cubaan yang jelas terdesak untuk membungkam kritikan dan terus berpaut pada kuasa.
"Malaysia sudahpun menyaksikan rekod hak asasi manusia dan tingkat kebebasan medianya merudum parah di bawah kerajaan hari ini, yang terus terusan menyalahgunakan kuasa," kata Anwar dalam kenyataan media hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berpendapat, kerajaan seharusnya mendengar suara kritis rakyat yang membayar cukai.
Katanya, kritikan dan pendapat berbeza akan menjadikan negara lebih progresif dan memiliki kepelbagian berbanding mendengar pendapat sehala.
"Kerajaan mesti segera menghentikan penggunaan akta-akta lapuk untuk menekan suara-suara kritikan dan pendapat yang berbeda.
"Memetik filasuf dan pemikir Renaisans Voltaire, “saya mungkin menentang dan tidak bersetuju dengan idea anda yang berbeza dari saya, tetapi saya bersedia untuk mempertahankan hak anda untuk meluahkannya”.
"Dengarkan luahan rakyat dan bekerja untuk mereka, bukan untuk diri kalian semata," katanya lagi.
Comments