Rang Undang-undang Akta Gangguan Seksual mungkin sukar untuk diluluskan kerana Parlimen tidak bersidang dan kerajaan Perikatan Nasional kurang berminat memperjuangkannya.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN yang juga pengamal undang-undang, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sebaliknya akta itu boleh diperjuang atau dikempenkan sebagai "kod gangguan seksual" di dalam parti dan boleh menjadi ikutan organisasi lain.
"KEADILAN tidak perlu menunggu persidangan Parlimen dibuka dan mengemukakan RUU Akta Gangguan Seksual.
"Sebaliknya, biarlah Parti ini menjadi sebuah parti politik yang sensitif terhadap isu berkenaan dan merakamkannya dalam peraturan 'code of conduct' yang jelas bagi menunjukkan keseriusan KEADILAN terhadap isu gangguan seksual.
"Selain itu, ianya juga akan menjadi contoh kepada anggota - anggota parti kita yang telah melebihi sejuta orang.
"Panduan dan peraturan 'code of conduct' yang jelas akan membantu pemandiri berani tampil ke hadapan," katanya dalam forum maya bertajuk, "Hello Wanita - RUU Akta Gangguan Seksual: Apa Cerita?" baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, isu gangguan seksual bukanlah suatu yang asing, bahkan kesaksamaan gender atau gender equality termasuk dalam salah satu daripada 17 Sustainable Development Goals (SDGs) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berharap agar KEADILAN dapat mengambil posisi strategik dan menunjukkan bahawa setiap ahlinya mampu memimpin perubahan yang berkait dengan isu gangguan seksual.
Commentaires