Ketua Pembangang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kelemahan kerajaan BN dalam polisi berkaitan pengendalian umrah dan haji di negara ini.
Bercakap selepas menerima kunjungan delegasi Gabungan Pengendali Umrah dan Haji di pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya semalam, Anwar menegaskan kerajaan perlu mempunyai dasar dan perencanaan yang lebih baik agar tidak membunuh industri tersebut dengan alasan pendemik Covid 19 secara berterusan.
"Ketiadaan libat urus dan penyelarasan yang serius antara Kementerian Pelancongan dan pemain-pemain lapangan seperti agensi-agensi pelancongan yang menguruskan urusan haji dan umrah sangat mengecewakan tatkala beban yang ditanggung mereka memberi kesan besar.
"Ini membuktikan ia adalah masalah ‘decision making’ yang sangat lemah di pihak kementerian-kementerian terlibat yang tidak membuat keputusan yang jitu dan tuntas," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, misalnya pengumuman yang dibuat kelmarin berkaitan kebenaran untuk penerbangan semula jemaah umrah ke Arab Saudi pada 8 Februari akan datang, kini perlu dimuktamadkan semula.
"Mereka telah bertemu dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan serta Menteri Kesihatan baru-baru ini. Namun, belum ada langkah segera telah diambil
"Saya mendesak pihak kerajaan mengambil pendekatan yang serius bagi menangani isu ini demi kepentingan dan kebaikan semua," katanya lagi.
Yorumlar