top of page

Isu tuntutan Sulu: Taklimat di hotel, Parlimen mundur ke belakang - Lim Kit Siang



Taklimat berkenaan tuntutan dan rampasan aset negara oleh pewaris Kesultanan Sulu di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam kelmarin menjadikan Parlimen Malaysia mundur ke belakang.


Menurut supremo DAP, Lim Kit Siang, alasan subjudis sebagaimana digunakan Speaker Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk tidak membenarkan hal berkenaan dibahas di dewan tidak mewajarkan kerajaan mengadakan taklimat di dewan tertutup, kerana hal tersebut masih dikira subjudis.


"Minggu pertama sidang Parlimen menunjukkan Parlimen yang ketinggalan zaman dan memerlukan reformasi parlimen untuk memastikan Parlimen kita terus ke hadapan dengan perkembangan terkini.


"Tiga orang Ahli Parlimen, Ramkarpal Singh (Pakatan Harapan - Bukit Gelugor), Salahuddin Ayub (Pakatan Harapan - Pulai), dan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan - Kota Belud) telah cuba membawa usul tergempar untuk membahas isu rampasan aset Petronas oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu yang menuntut sejumlah AS$14 bilion dari Malaysia, namun usul ini disekat oleh Speaker Azhar Harun yang memetik peraturan subjudis


"Sebaliknya, kerajaan telah mengadakan sesi taklimat tertutup di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur malam semalam (kelmarin) untuk ahli-ahli parlimen mengenai isu ini.


"Sekiranya perbahasan disekat atas dasar subjudis, bukankah taklimat di sebalik pintu tertutup seperti yang diadakan itu juga bersifat subjudis?" tanyanya dalam satu kenyataan.


Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, hasil penyelidikan beliau kepada Ahli Parlimen yang menghadiri taklimat mendapati tiada maklumat yang tidak boleh disebut di Parlimen yang dibentangkan di dewan hotel berkenaan.


"Apa yang berlaku dalam taklimat itu adalah pendedahan kronologi kes dan perkara ini sepatutnya dinyatakan di Parlimen memandangkan bukan sahaja Ahli-ahli Parlimen, malah rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah berhak untuk mendapat maklumat penuh .


"Taklimat kepada Ahli-ahli Parlimen semalam tidak boleh menggantikan perbahasan isu ini di Parlimen, yang perlu diadakan melalui Kenyataan Menteri di Parlimen disusuli dengan perbahasan mengenai perkara tersebut," katanya.


Kit Siang juga membidas Speaker Azhar Harun apabila menjawab bantahan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mengenai keputusan subjudis Speaker yang tidak tepat kerana peraturan tersebut sepatutnya digunakan mengikut merit kes-kes tertentu, di mana Speaker menambah mengatakan perbahasan isu tuntutan Sulu berkenaan akan mendedahkan strategi perundangan kerajaan kepada pihak lawan.


Speaker katanya, sedikit betul mengatakan strategi perundangan kerajaan tidak patut didedahkan tetapi bukan menjadi tugas beliau untuk mengenakan sekatan penuh menghalang sebarang perbahasan mengenai isu berkenaan.


"Sebaliknya tanggungjawab Speaker hanyalah mempertahankan hak Menteri untuk tidak mendedahkan apa-apa strategi kerajaan.


"Amatlah mengejutkan melihat prinsip penting seperti pemisahan kuasa dan keulungan Parlimen dari pihak Eksekutif direndahkan sebegini," kata Kit Siang lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page