Isu tanah SVTP Kanthan selesai dalam masa terdekat - Kamil Munim
- Azuan Ab Rahman

- Apr 26
- 1 min read

Isu pemilikan dan penggunaan tanah membabitkan kira-kira 200 petani di kawasan pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, Chemor di Ipoh dijangka selesai dalam masa terdekat.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) menyatakan keyakinan itu selepas menghadiri sesi perbincangan bersama petani terlibat berhubung status tanah tersebut.
Katanya, pejabat Parlimen Tambun telah mengadakan perbincangan bersama sebuah syarikat GLC bagi mengenal pasti lokasi yang bersesuaian untuk tujuan tersebut.
"Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, kita sedang mencari kawasan dan lokasi yang sesuai bagi memudahkan serta memberi laluan kepada para petani untuk terus menjalankan kegiatan pertanian mereka," katanya.
Terdahulu, petani terlibat yang antaranya mengusahakan tanaman sayur-sayuran merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ahli Parlimen Tambun selepas berdepan tindakan pengosongan.
Tindakan pengosongan dilakukan bagi memberi laluan kepada pembangunan projek SVTP memandangkan aktiviti pertanian di kawasan berkenaan diusahakan secara tidak sah sejak lebih 10 tahun lalu tanpa sebarang bayaran premium dan cukai tanah pertanian.
Sementara itu menurut Muhammad Kamil, kawasan di jajaran laluan kereta api lama di Tanjung Rambutan antara kawasan dikenal pasti berpotensi untuk tujuan penempatan semula.
Jika diagihkan mengikut keluasan kira-kira satu ekar bagi setiap petani, kawasan berkenaan jelasnya mampu menampung keperluan keseluruhan petani yang terlibat.




Comments