Seruan untuk memboikot perniagaan yang mencemarkan agama Islam lewat isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di sebuah kedai serbaneka baru baru ini tidak wajar dituruti secara membuta tuli oleh orang Islam Malaysia.
Bagi Presiden protem Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, seruan untuk memboikot perlulah diputuskan oleh ulama bebas dan bukannya dalam kalangan ustaz pro parti politik tertentu yang berceramah di media sosial.
Katanya dalam negara yang berdaulat dan mempunyai kuatkuasa undang undang, umat Islam perlu menghormati proses siasatan dan hukuman yang dikenakan oleh pemerintah ke atas mana mana pihak yang melakukan kesalahan.
"Kalau kita tak mahu dengar pandangan ulama, tak mahu dengar pandangan Majlis Fatwa, kita nak buat undang undang sendiri, kita nak bertindak ikut suka hati kita. Tetapi kalau gelojoh, impaknya nanti yang rugi bukan orang lain tetapi kita juga.
"Kalau nak tengok apakah konsep Islam dalam isu boikot ini sila rujuk www.muftiwp.gov.my
"Ada dijelaskan di bawah Bayan Linas siri 181, tentang boikot ekonomi," katanya yang tidak mahu umat Islam berpecah belah akibat isu beberapa helai stoking yang kemudian digembar gemburkan kononnya Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan.
Mengulas muatnaik di akaun TikTok pempengaruh yang memetik hadis bahawa Rasullulah s.a.w pernah menghantar tentera untuk menyerang puak Yahudi yang merendah rendahkan seorang muslimat, Mustapa berkata, kejadian berkenaan berlaku pada zaman yang berbeza (akibat pelanggaran perjanjian dengan negara Islam Madinah).
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak terlalu dibuai emosi dan melayan pempengaruh yang menaikkan sentimen sehingga seolah olah sanggup 'berperang'.
Katanya, sebarang tindakan melulu hanya akan merugikan semua pihak di negara berbilang kaum seperti Malaysia.
"Saya mengingatkan, sekiranya kita mengambil langkah yang gopoh, terlalu emosi, nanti kita juga yang rugi.
"Alasan sekarang boikot mahu beri pengajaran (kepada perniagaan terbabit), bagi saya undang undang sudah ada.
"Hal ini sama sahaja seperti lepas PRU lalu ada pihak (pro pemerintah) buat kempen cuba boikot restoran orang Kelantan. Saya tidak setuju. Kenapa nak diboikot, kerana tak mahu pilih kerajaan hari ini?
"Jadi sesuatu perkara itu mesti dirujuk betul betul, jangan rujuk ulama politik sahaja. Rujuk pakar yang jelas, pakar yang boleh melihat kesan tindakan dari sudut ekonomi, nasib rakyat bekerja di sana (perniagaan diboikot) dan sebagainya. Itulah maqasid syariah," katanya lagi.
Justeru Mustapa berkata, rakyat perlu bersabar menunggu pihak polis menyelesaikan siasatan, sama ada kes di bawa ke mahkamah dan ada pihak yang dihukum.
Untuk rekod, isu stoking ini hampir sama sebagaimana pernah dihadapi negara pada 2019 lalu ketika Pengerusi PN hari ini, Muhyiddin Yassin menjawat Menteri Dalam Negeri.
Isu pelekat dinding tertera kalimah Allah yang 'meletup' pada waktu itu hanya ditarik balik penjualannya dan tidak berpanjangan seperti mana dimainkan oleh laskar siber pembangkang hari ini.
댓글