top of page

Isu sijil CCC mudah selesai jika PH diberi mandat di Tanjung Surat - Faizul

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Faizul meneliti dokumen yang diberikan penduduk dan berjanji akan menyelesaikan masalah jika diberi mandat
Faizul meneliti dokumen yang diberikan penduduk dan berjanji akan menyelesaikan masalah jika diberi mandat

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani bertekad membantu menyelesaikan isu Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) di Taman YPJ, Punggai sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


Beliau menegaskan, penduduk berhak mendapat jawapan, tindakan dan jalan penyelesaian yang tuntas terhadap isu berkenaan.


"Mereka mahu suara ini sampai kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan saya bersedia membawa perkara ini dengan lebih tersusun.


"Jika saya diberikan mandat, isu seperti ini lebih mudah diselaraskan kerana wakil rakyat yang dipilih bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan.


"Tanjung Surat perlukan wakil yang benar-benar turun, dengar dan bertindak, bukan sekadar hadir ketika musim pilihanraya, tetapi (pada masa sama) berani mengangkat masalah rakyat sehingga selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.


Malam tadi, beliau bertemu dan mendengar sendiri luahan komuniti penduduk Taman YPJ, Punggai berhubung isu berkenaan dan ada penduduk mendakwa telah membawa perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), YPJ dan wakil rakyat sebelum ini.


"Namun sehingga kini masih menunggu penyelesaian yang tuntas. Saya mendengar dengan penuh prihatin, tetapi saya juga mahu tegas bahawa isu asas perumahan rakyat seperti ini tidak boleh dibiarkan berlarutan bertahun-tahun.


"Ada penduduk yang berkongsi, sejak mula berkahwin sehingga anak sulung kini berusia 13 tahun, CCC masih belum diterima. Ini bukan isu kecil.


"Bila tiada CCC, penduduk berdepan pelbagai kesan; tiada kontrak pemotongan rumput berkala, pengurusan sampah tidak tersusun, kerosakan unit pula tidak jelas hendak diadukan kepada siapa.


"Lebih membimbangkan, jika berlaku bencana, tuntutan insurans juga boleh menjadi sukar. Taman ini dimaklumkan mempunyai sekitar 500 unit, hampir 300 unit sudah terjual dan lebih 200 rumah telah didiami," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page