top of page

Isu lesen, tumpahan minyak nelayan Tanjung Surat akan diperjuangkan - Faizul

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 6
  • 2 min read
Faizul (berkemeja biru muda) tekun mendengar masalah nelayan Tanjung Surat. Di sebelahnya (kiri) Pengerusi LKIM Faiz Fadzil dan sebelah (kanan) Exco Agama Selangor, Dr Fahmi Ngah
Faizul (berkemeja biru muda) tekun mendengar masalah nelayan Tanjung Surat. Di sebelahnya (kiri) Pengerusi LKIM Faiz Fadzil dan sebelah (kanan) Exco Agama Selangor, Dr Fahmi Ngah

Kesukaran mendapatkan lesen, ancaman tumpahan minyak dan masalah muara cetek yang menjejaskan pergerakan bot antara isu utama yang terus menghimpit hampir 300 nelayan di Sungai Rengit sehingga menuntut campur tangan segera pihak kerajaan.


Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani berkata, sebagai calon yang bertanding, nasib dan hak nelayan merupakan antara perkara yang terkandung dalam Tujuh Tekad yang dibawanya untuk rakyat di kawasan itu.


Katanya, nasib komuniti nelayan di kawasan berkenaan tidak boleh terus dipandang sepi memandangkan mereka merupakan antara nadi ekonomi tempatan di pesisir kawasan Pengerang dan Tanjung Surat.


"Jika diberi mandat oleh pengundi untuk berkhidmat di DUN Tanjung Surat, saya akan terus membawa suara nelayan, memperjuangkan penyelesaian isu lesen, kemudahan asas, keselamatan perairan, bantuan peralatan dan perlindungan ekonomi nelayan secara lebih tersusun.


"Nelayan bukan sekadar penyumbang hasil laut, tetapi mereka adalah keluarga besar Tanjung Surat yang mesti dibela dengan dasar, perhatian dan tindakan yang nyata," katanya dalam kenyataan.


Terdahulu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil mengadakan pertemuan dengan Persatuan Nelayan Sungai Rengit yang terdiri daripada nelayan tempatan untuk turut sama mendengar permasalahan yang dihadapi mereka.


Faizul menyifatkan, pertemuan itu membuka ruang penting untuk golongan nelayan menyuarakan sendiri pelbagai permasalahan yang telah lama membelenggu kehidupan dan mata pencarian mereka.


"Bagi saya, suara nelayan tidak boleh hanya didengar ketika musim tertentu, sebaliknya mesti diangkat secara serius kerana mereka adalah antara nadi ekonomi tempatan di Tanjung Surat, khususnya di kawasan Sungai Rengit dan pesisir Pengerang.


"Saya menghargai komitmen Pengerusi LKIM yang menyatakan bahawa permasalahan yang dibangkitkan akan turut dibawa kepada perhatian Jabatan Perikanan.


"Ini langkah yang baik dan saya berharap susulan yang konkrit dapat dibuat selepas pertemuan ini, bukan sekadar perbincangan tanpa penyelesaian," katanya yang turut menyambut baik pertemuan penuh bermakna itu.


Pada 11 Julai nanti, Faizul bakal berhadapan saingan dua penjuru di DUN Tanjung Surat menentang calon Barisan Nasional (BN), Aznan Tamin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page