top of page

Isu lesen judi di Kedah: Keputusan Mahkamah tiada kena mengena dengan PM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 9 hours ago
  • 2 min read

KEADILAN Kedah mengecam tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyalahkan Perdana Menteri susulan kegagalan Kerajaan Negeri mempertahankan dasar menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis perjudian.


Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah (gambar) berkata tindakan Sanusi mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan isu berkenaan tidak berasas memandangkan pertikaian itu berpunca daripada keputusan pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum diputuskan oleh badan kehakiman.


"Hakikatnya, Sanusi selaku Menteri Besar yang menerajui keputusan tersebut telah kalah dalam tindakan undang-undang berkenaan.


"Tindakan pentadbiran pimpinannya dibatalkan selepas mahkamah mendapati ia melangkaui bidang kuasa negeri manakala permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tengku Nashrul berkata, Malaysia mengamalkan prinsip pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman sekali gus ia tidak melibatkan Perdana Menteri dalam menentukan keputusan mahkamah dalam kes berkenaan.


"Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman. Perdana Menteri tidak terlibat dalam menentukan keputusan mahkamah," tegasnya.


Tunku Nashrul turut membidas Sanusi kerana cuba mengalihkan tanggungjawab kepada Kerajaan Persekutuan sedangkan pentadbiran Kedah sendiri gagal mempertahankan keputusannya di mahkamah.


"Sanusi usah baling batu sembunyi tangan. Sikap bermuka-muka dan berpura-pura suci dalam isu ini jelas mencerminkan kemunafikan politik.


"Realitinya, ketika Pas berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran yang disertai partinya meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.


"Sebaliknya, Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun," katanya.


Semalam, Sanusi pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah dipetik sebagai berkata tanggungjawab untuk meluluskan lesen perjudian kini terletak kepada Kementerian Kewangan (MOF) manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab mengeluarkan lesen premis selepas pengusaha memperoleh kelulusan untuk beroperasi daripada kementerian berkenaan.


Sanusi berkata “bola berada di tangan Menteri Kewangan” dan mempersoalkan sama ada lesen perjudian di Kedah akan diluluskan atau sebaliknya.


Beliau turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Anwar dengan memberi amaran Perdana Menteri akan dimaki rakyat Kedah sekiranya membenarkan aktiviti perjudian kembali beroperasi di negeri itu.


Sanusi turut mendakwa Kerajaan Negeri sebelum ini telah meminta MOF supaya tidak lagi mengeluarkan lesen perjudian di Kedah selepas Kerajaan Negeri memutuskan untuk tidak mengeluarkan lesen premis, termasuk meminta lesen yang tamat pada 2022 tidak diperbaharui bagi tahun berikutnya.


Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu sebulat suara menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.


Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang turut memerintahkan Kerajaan Negeri membayar kos RM50,000.


Mahkamah Rayuan sebelum itu, melalui keputusan majoriti 2-1 pada 12 Disember 2025 memutuskan tindakan Kerajaan Negeri berkenaan melangkaui batas kuasa negeri kerana ia membabitkan perkara di bawah bidang kuasa Persekutuan.


Tunku Nashrul berkata tindakan Sanusi mengheret Perdana Menteri dalam isu berkenaan hanya mengelirukan rakyat dan bertujuan menutup kelemahan pentadbirannya sendiri.


"Tindakan paling celaka adalah mengelirukan rakyat, memaki Datuk Seri Anwar dan mengheret pihak yang tiada kena-mengena semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri.


"Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page