top of page

Isu larangan minum arak: BN-PN tidak utamakan hal prinsip, agama? - AMK Kelantan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
Jul 24
2 min read

Ketiadaan reaksi tegas setakat ini daripada pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dan sekutunya Pas terhadap pendirian beberapa anggota MCA yang membantah larangan pengambilan minuman keras di kawasan awam terutama di pantai Port Dickson dua minggu lalu, menimbulkan tanda tanya mengenai konsistensi pendirian mereka terhadap isu yang dianggap melibatkan prinsip.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi, berkata jika benar slogan yang dibawa ialah demi agama, bangsa dan Melayu, maka pendirian itu perlu diterjemahkan secara konsisten tanpa mengira siapa yang melakukannya.


"Jangan hanya lantang apabila melibatkan pihak lawan, tetapi memilih untuk berdiam diri apabila isu yang sama datang daripada rakan sendiri.


"Rakyat hari ini semakin bijak menilai antara perjuangan yang berasaskan prinsip dengan politik yang berasaskan kepentingan.


"Politik tidak sepatutnya menggunakan dua standard. Apa yang salah tetap salah, dan apa yang betul tetap betul. Prinsip tidak boleh berubah hanya kerana kepentingan politik atau peluang untuk meraih kuasa," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kerjasama antara BN dan PN di Negeri Sembilan yang dipromosikan atas naratif penyatuan Melayu-Islam.


Turut dibangkitkan ialah pendirian MCA sebagai parti komponen BN yang mempertikaikan larangan pengambilan minuman keras di kawasan pantai oleh Kerajaan Pakatan Harapan, selain persoalan mengenai perbezaan naratif jika bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana Perikatan Nasional (PN) juga mempunyai parti komponen, serta calon bukan Melayu.


Mengulas lanjut, Mohamad Ezzat mempersoalkan mengapa hanya PH sering menjadi sasaran kononnya kerana bekerjasama dengan parti bukan Melayu, sedangkan semua gabungan politik utama di Malaysia turut dianggotai pelbagai kaum.


"Jika benar prinsipnya adalah soal bangsa atau kaum, maka prinsip itu sepatutnya diterapkan secara konsisten kepada semua gabungan politik.


"Namun apa yang dilihat hari ini ialah prinsip tersebut sering berubah mengikut kepentingan politik semasa.


"Inilah yang menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat. Apabila melibatkan pihak lawan, isu agama dan bangsa dijadikan modal politik.


"Tapi apabila melibatkan rakan dalam gabungan sendiri, nada dan pendirian berubah. Rakyat melihat wujudnya layanan yang berbeza mengikut siapa yang melakukannya," ujarnya lagi.


Dalam pada itu, Mohamad Ezzat turut mengingatkan agar sentimen kaum dan agama tidak dijadikan modal politik, memandangkan semua gabungan politik di negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk dan memerlukan kerjasama pelbagai kaum untuk mentadbir negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page