top of page

Isu kematian Zara: Kerajaan perlu tindakan tegas cegah budaya buli

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 21
  • 2 min read

ree

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa tragedi kematian adik Zara Qairina mesti menjadi titik tolak kepada usaha menyeluruh bagi membanteras budaya buli yang kian berakar dalam masyarakat.


Beliau menyambut baik penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen kelmarin yang memaklumkan bahawa Peguam Negara telah mengarahkan prosiding inkues bagi mendedahkan kebenaran dalam kes Zara Qairina.


"Ini adalah langkah tepat untuk memastikan kebenaran terdedah melalui proses undang-undang yang telus dan tidak dipengaruhi emosi.


"Kita bukan lagi hidup di zaman “Raja Bersiong” yang mana hukuman dijatuhkan membuta tuli untuk memuaskan hati orang ramai.


"Sebaliknya keadilan mesti ditegakkan berdasarkan fakta, bukti, dan proses perundangan. Hanya dengan cara ini, keyakinan rakyat terhadap sistem keselamatan dan kehakiman dapat dipulihkan," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam pada itu, Mahfuz juga merujuk pendakwaan terhadap lima remaja bawah 18 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak berhubung kes tersebut.


"Tindakan ini membuktikan bahawa tidak ada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang, walaupun mereka masih berstatus remaja. Dalam masa sama, perbicaraan di mahkamah khas kanak-kanak akan tetap mengambil kira prinsip keadilan dan pemulihan," ujarnya.


Bagaimanapun, mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan tragedi menimpa Zara hanyalah “kemuncak kepada masalah lebih besar”, iaitu budaya buli yang semakin parah.


"Kes demi kes berlaku setiap tahun, dari sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi. Soalnya: mengapa anak-anak kita sanggup mencederakan rakan sendiri? Inilah persoalan yang wajib dijawab oleh sistem pendidikan, keluarga, dan masyarakat," tegasnya.


Dalam konteks lebih luas, beliau turut menyentuh soal keselamatan negara yang semakin mencabar, termasuk insiden serangan cucuk jarum terhadap anak Menteri Ekonomi baru-baru ini.


"Sama ada anak ahli politik atau anak orang biasa, keselamatan setiap nyawa mesti dijamin oleh negara," katanya.


Sehubungan itu, Mahfuz menggesa kerajaan melaksanakan langkah menyeluruh bagi menjamin keselamatan kanak kanak dengan memperluas program pencegahan buli bermula di sekolah rendah; mewujudkan talian hotline anti-buli yang berkesan;

membentuk task force bersama PDRM dan Kementerian Pendidikan bagi menangani isu secara menyeluruh; serta melaksanakan kempen nasional anti-buli melibatkan keluarga, komuniti dan media.


"Inkues yang akan dijalankan serta pendakwaan adalah langkah penting, tetapi ia hanyalah permulaan.


"Apa yang rakyat mahukan ialah jaminan bahawa tragedi seperti ini tidak akan berulang. Masa depan anak-anak kita tidak boleh dikorbankan kerana kelemahan sistem dan kelalaian orang dewasa," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page