Induksi anggota baharu KEADILAN Kuantan, kukuh kefahaman Reformasi
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Seramai puluhan anggota baharu KEADILAN Cabang Kuantan mengikuti Program Induksi Keanggotaan Baharu yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Sri Teja, Bandar Putra, Kuantan.
Program bertujuan memberi pendedahan awal kepada anggota baharu mengenai sejarah, idealisme dan gerak kerja parti itu telah dirasmikan dan dikendalikan oleh barisan pimpinan cabang.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, program itu diwujudkan bagi menyampaikan modul penerangan parti.
Katanya, sejarah penubuhan KEADILAN pada 4 April 1999, latar belakang gerakan Reformasi serta prinsip perjuangan parti sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Parti perlu dihadam oleh anggota baharu.
"Anggota baharu perlu memahami asas perjuangan kita. Deklarasi Permatang Pauh September 1998 adalah titik tolak kepada gerakan Reformasi dan ia kekal relevan sebagai asas perjuangan keadilan dan demokrasi," katanya.

Fakhrul Anuar turut menerangkan konsep Malaysia Madani dan menghuraikan 6 rukun Malaysia Madani sebagai kerangka nilai yang menjadi panduan kepada anggota parti dalam berkhidmat kepada masyarakat.
Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri pula berkongsi peranan Wanita sebagai sayap utama parti. Beliau menggalakkan anggota wanita untuk aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan program cabang bagi memperkukuh jentera di peringkat akar umbi. Bagi wanita muda pula, anggota baharu boleh terlibat bersama Srikandi Kuantan di bawah Ketua Srikandi Saudari Siti Samihah Shaikh Mohd Zeferi.
Manakala Setiausaha Pengelola Cabang, Saudara Ahmad Fazdheim, memberi taklimat mengenai operasi dan perjalanan gerakerja di peringkat Ranting. Beliau mengajak anggota baharu untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti parti di kawasan masing-masing. Menurut beliau sehingga 11 Ogos 2026 Cabang Kuantan mencatatkan bilangan Ranting tertinggi di negeri Pahang iaitu sebanyak 60 buah ranting berdaftar.
Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua peserta. Suasana mesra dan interaktif sepanjang program mencerminkan semangat kekeluargaan dalam KEADILAN Cabang Kuantan itu sendiri




Comments