Ilustrasi Jalur Gemilang tanpa simbol bulan: KDN mulakan siasatan
- Suara Keadilan
- Apr 16
- 1 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) kesal dengan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit pada akhbar Sin Chew Daily bertarikh 15 April 2025.
Menurut satu kenyataan, KDN telah pun memulakan tindakan siasatan ke atas penerbitan itu serta merta dengan berpandu kepada dua perundangan iaitu Akta Lambang dan Nama (mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
"Perbualan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
"Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini," kata KDN dalam kenyataan.
Menurut KDN lagi, Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, ia adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak.
"KDN tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua dua Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan," katanya lagi.
Berhubung insiden berkenaan, KDN memaklumkan pihaknya telah memanggil pihak Sin Chew Daily pada hari ini bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab turut diserahkan kepada wakil media itu.
Tegas KDN, kementerian tidak akan bertolerasi dengan mana mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara.
Comments