top of page

'Hungry Ghost Festival': Hormati tradisi kaum, kepelbagaian budaya - Altimet

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
Aug 18
2 min read

Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dirujuk bagi mendapatkan penjelasan dan mencari penyelesaian berhubung isu sepanduk 'Hungry Ghost Festival' yang menjadi bahan kritikan kerana tidak menggunakan bahasa Melayu, kata Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (gambar).


Ketua Cabang KEADILAN Ampang itu berkata, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi memastikan perkara berkenaan dapat diselesaikan secara baik dan berhemah tanpa menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.


Selain itu, katanya, pengkritik terutama Ridhuan Tee perlu memahami bahawa Hungry Ghost Festival atau Perayaan Hantu Lapar merupakan sebahagian daripada tradisi dan kebudayaan masyarakat Tiong Hua yang telah diamalkan sejak turun-temurun.


Hal itu, ujarnya, berkait dengan nilai mengenang leluhur, menghargai jasa generasi terdahulu serta melakukan kebajikan dan persembahan kepada roh yang dipercayai tidak mempunyai keluarga atau waris untuk memperingati mereka.


"Prinsip saya jelas iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan mesti dihormati dan pada masa yang sama hak setiap masyarakat untuk mengamalkan adat, budaya dan perayaan masing-masing juga mesti dihormati. Inilah semangat Malaysia.


"Saya ingin menegur Saudara Ridhuan Tee agar tidak menjadikan perkara kebudayaan seperti ini sebagai bahan untuk mencetuskan kecurigaan atau ketegangan antara masyarakat.

Kritikan Ridhuan Tee terhadap isu bahasa
Kritikan Ridhuan Tee terhadap isu bahasa

"Jika terdapat ketidakpatuhan terhadap garis panduan pihak berkuasa tempatan, kita betulkan. Jika terdapat kekurangan pada sepanduk, kita perbaiki. Tidak semua perkara perlu ditukar menjadi konflik perkauman," katanya menerusi satu kenyataan.


Menjelaskan lebih lanjut, Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, penggunaan bahasa pada sepanduk tersebut perlu dlihat berdasarkan konteks dan tujuan sesuatu bahan komunikasi.


ADUN Lembah Jaya itu berkata, jika sesuatu sepanduk ditujukan khusus kepada komuniti tertentu, penggunaan bahasa komuniti berkenaan bukanlah sesuatu yang luar biasa.


Namun ujarnya, apabila sesuatu sepanduk atau bahan promosi dipasang di ruang awam dan tertakluk kepada peraturan PBT maka segala garis panduan berkaitan penggunaan Bahasa Melayu hendaklah dipatuhi.


"Dalam perkara ini, kita tidak perlu membesarkan isu sehingga mencetuskan pertelingkahan antara kaum. Malaysia memerlukan lebih ramai pihak yang menyelesaikan masalah, bukan membesarkan perbezaan demi perhatian dan trafik media sosial.


"Jika benar mahu memperjuangkan kepentingan masyarakat dan umat Islam, terdapat banyak isu lebih besar yang memerlukan penelitian dan perbahasan berasaskan fakta, termasuk isu berkaitan tadbir urus, integriti institusi dan kepentingan pendeposit Tabung Haji," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page