top of page

Hormati kedudukan Islam, tolak ekstremisme - Dr Zulkifli

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 40 minutes ago
  • 2 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar), menyeru semua pihak menghormati kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping memelihara keharmonian antara penganut agama di negara ini.


Beliau berkata kedudukan Islam yang diiktiraf menerusi Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan perlu difahami dalam kerangka Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan pendekatan progresif dan sederhana.


"Berteraskan Perkara 3(1) Perlembagaan, Islam dengan jelas diiktiraf sebagai agama bagi Persekutuan, manakala kebebasan mengamalkan agama lain terus dijamin dalam suasana aman damai," katanya dalam kenyataan media.


Menurut Zulkifli, kedudukan Islam dalam tatanegara Malaysia turut dizahirkan melalui syiar Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kewujudan Mahkamah Syariah serta ekosistem sosioekonomi syariah termasuk perbankan Islam dan industri halal.


"Kedudukan luhur Perlembagaan ini dan juga kerangka jurisprudens fiqhi, menegaskan identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan sederhana (moderate)," katanya.


Beliau berkata kesemua elemen perundangan, sejarah dan institusi berkenaan saling melengkapi serta menafikan sebarang andaian yang mempertikaikan kedudukan Islam dalam kerangka perlembagaan negara.


Dalam masa sama, Zulkifli menegaskan Islam menolak pemikiran melampau, ketaksuban buta dan ekstremisme menerusi prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan.


"Islam secara tegas menolak pemikiran ghuluw (melampau), ketaksuban buta, dan ekstremisme berasaskan prinsip wasatiyyah (kesederhanaan)," katanya.


Menurut beliau, pengiktirafan terhadap kedudukan Islam tidak bermaksud menindas penganut agama lain, sebaliknya hak masyarakat bukan Islam untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman dan damai terus dipelihara melalui jaminan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Siyasah Shar’iyyah.


Zulkifli berharap semua pihak bijaksana dab berhemah dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan hal ehwal agama Islam.


"Semua pihak digesa agar lebih berhati-hati, dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam secara sewenang-wenangnya," katanya.


Beliau memberi peringatan bahawa kenyataan yang tidak cermat dan bersifat provokatif boleh memberi kesan terhadap keharmonian serta kestabilan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page