Hijrah ke DUN Linggi pikul misi tambah DUN PH - MB Aminuddin
- Akmal Manaf
- 2 hours ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan perpindahannya dari DUN Sikamat bukan satu penghormatan, sebaliknya merupakan amanah besar yang dipikul.
Beliau berkata, kesediaannya bertanding di DUN Linggi adalah bagi memperkukuhkan kedudukan PH, sekali gus membantu membentuk Kerajaan Negeri yang lebih stabil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Bukan tahniah, ini satu amanah (apabila saya ditukarkan DUN). Kita sedia maklum kita perlukan sebuah kerajaan yang stabil dan saya yakin bahawa kita (juga) perlukan tambahan kerusi kepada PH.
"..bagi saya, menjadi antara yang perlu meneroka kawasan baharu adalah demi kemenangan ini, sekali gus menambah lagi kerusi PH dan memberikan khidmat bakti saya kepada masyarakat di DUN Linggi.
"Saya yakin (untuk) menawarkan diri (bertanding) di DUN Linggi. Tugas saya akan lebih rapat dengan masyarakat setempat dan Insya-Allah akan dapat mengenali mereka seperti saya mengenali penduduk-penduduk di Sikamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PH PRN Negeri Sembilan yang disempurnakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi di Kuala Pilah.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong, pengundi, rakan-rakan dan saudara-maranya di DUN Sikamat yang memberikan sokongan serta ruang kepadanya untuk berpindah ke DUN Linggi.
"Mereka juga telah memberikan peluang kepada saya selama dua penggal sebagai pembangkang dan dua penggal sebagai Kerajaan Negeri. Saya ucapkan ribuan terima kasih
"Selamat datang kepada rakan-rakan di Linggi, semoga kita menjadi satu pasukan baharu dan InsyaAllah kita akan berjaya pada PRN kali ini," ujarnya lagi.
Untuk rekod, DUN Linggi sebelum ini merupakan kubu kuat UMNO dan merupakan satu penghormatan apabila MB mengetuai cabaran untuk merampas kerusi berkenaan setelah UMNO berkhianat kepada pentadbiran Menteri Besar Aminuddin Harun sehingga terpaksa melaksanakan PRN tergempar.
Hari pengundian PRN Negeri Sembilan Ke-16 dijadualkan pada 1 Ogos, manakala penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.
Sebanyak 36 kerusi DUN akan dipertandingkan, melibatkan lebih 889,400 pengundi.
