top of page

Hentikan serangan terhadap keputusan Lembaga Pengampunan - PM



Oleh: Helmi Mohd Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu serangan terhadap keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan hukuman Datuk Seri Najib Razak dihentikan selepas penjelasan diberikan kepada semua pihak berkaitan isu tersebut.


Perdana Menteri berkata pihaknya juga telah berbincang dengan Ketua Polis Negara (KPN) agar mengambil pendekatan sederhana terhadap reaksi pelbagai pihak termasuk kenyataan keras berhubung keputusan yang telah dibuat oleh lembaga tersebut.


"Saya ingat oleh kerana proses itu (lembaga pengampunan) berjalan dan telah timbul kontroversi kita faham mengapa reaksi kedua-dua pihak keras dan menerjah serangan ikut selera dan pandangan mereka.


"Saya bicara juga dengan Ketua Polis Negara agar dalam kes ini sebelum penjelasan dibuat ambil pendekatan sederhana, kita faham orang ada pandangan yang kuat dan keras jadi kita beri laluan sedikit tapi setelah penjelasan telah dibuat (ia) harus dihentikan," tegas beliau.


Beliau berkata demikian dalam perjumpaan bulanan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De' Seri Endon PUSPANITA PURI, Putrajaya hari ini.


Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadhillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mohd Na'im Mohktar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.


Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan yang bersidang pada 29 Januari lalu membuat keputusan mengurangkan separuh hukuman penjara ke atas Najib yang juga bekas Perdana Menteri.


Susulan pengurangan hukuman itu, lembaga yang dipengerusi oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menetapkan tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2028. Hukuman denda sebanyak RM210 juta juga dikurangkan kepada RM50 juta.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan segelintir pihak menyalahkan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri atau Lembaga Pengampunan sebenarnya tidak berbangkit.


"Itu proses kita terima Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa yang kita berikan sejak merdeka bahawa Raja-Raja Melayu dalam memutuskan dan tidak semestinya memutuskan sesuatu rayuan itu dari segi undang-undang atau perjalanan mahkamah atau sebaliknya.


"Dalam kes-kes terdahulu ada menteri, orang biasa, ada kes hukuman bunuh dan pelbagai tetapi diberi peringkat-peringkat pengampunan," ujar beliau.


Jelas Perdana Menteri, sesuatu permohonan rayuan itu kebiasaannya mengambil kira peranan seseorang pesalah termasuk perjalanan hidup bersama keluarga, kehidupan di penjara selain jasa serta khidmat kepada masyarakat dan keluarga.


"...dalam kes Najib (jasa) kepada negara, itu semua diberi pertimbangan dan beri penjelasan tentang proses badan kehakiman, apa kes dan hukuman, kemudian kalau ada kes dalam proses semua itu dijelaskan dan kemudian masing-masing beri pandangan dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan.


"Bagaimana hendak salahkan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong, Peguam Negara atau Lembaga Pengampunan, tidak berbangkit, saya harap dengan penjelasan ini kita redakan," katanya.


Anwar menjelaskan masyarakat harus memahami bahawa keputusan Lembaga Pengampunan dibuat berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan mereka tidak boleh menuntut penjelasan daripada Yang di-Pertuan Agong.


"Diputuskan oleh Agong, itu kena faham, bukan diputuskan oleh lembaga pada hakikatnya, proses itu mesti melalui lembaga jadi kalau ada yang nak tanya sila buat memorandum kepada Agong," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page