Henti polemikkan konflik Asia Barat, sokong langkah stabilkan ekonomi
- Akmal Manaf

- Apr 14
- 1 min read

Semua pihak diseru agar menghentikan polemik politik yang tidak membina dan tidak mengambil kesempatan dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu demi meraih kepentingan politik sempit.
Penerangan KEADILAN Kepong, Muhammad Zahid Hassan berkata, konflik di Asia Barat pada waktu ini telah memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi dunia termasuk kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan serta tekanan terhadap inflasi yang akhirnya memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.
Sehubungan itu, KEADILAN Kepong mahu semua pihak berhenti mengambil keuntungan politik daripada konflik dan memberikan sokongan kepada usaha menstabilkan ekonomi.
"Semua pihak perlu mengambil pendekatan yang matang dan bertanggungjawab. Tindakan berterusan berpolitik secara berlebihan hanya akan mengganggu usaha-usaha pemulihan ekonomi yang sedang giat dilaksanakan.

"Kerajaan perlu diberikan ruang, kepercayaan dan sokongan penuh untuk mengurus ekonomi negara dengan berkesan serta melaksanakan dasar-dasar yang mampu melindungi kebajikan rakyat.
"Segala inisiatif yang dirangka memerlukan kestabilan politik serta kerjasama daripada semua pihak agar hasilnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, Zahid yang juga Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Kepong menegaskan, perpaduan nasional yang merupakan kekuatan utama negara dalam menghadapi cabaran global harus terus diperkukuhkan.
Katanya, semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik perlu bersatu hati demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
"Kami menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan dan bersama-sama memberi fokus kepada usaha memulihkan serta menstabilkan ekonomi negara.
"Sesungguhnya, sekarang bukan masa untuk berpolitik, tetapi masa untuk bersatu demi kepentingan rakyat dan masa depan Malaysia," katanya lagi.




Comments