Harga rumah yang sedia mahal di Malaysia dijangka akan meningkat lebih tinggi dalam beberapa bulan ke hadapan berikutan harga bahan binaan yang melambung sehingga 15%.
Menurut Pengerusi Biro Pengguna, Faiz Fadzil, kos bahan pembinaan yang tinggi itu dan kekurangan buruh sejak kebelakangan ini menyebabkan banyak kontraktor kecil gulung tikar serta menyukarkan rakyat, terutama yang mempunyai tanah sendiri membina rumah.
Katanya, pada bulan Mei 2022, data Jabatan Perangkaan menunjukkan Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) telah melonjak 7.8 - 15.6% di Semenanjung berbanding bulan sebelumnya. Manakala di Sabah, IKB meningkat 4.9-21.2%, dan di Sarawak, 4.9 - 21.4%.
"Peningkatan mendadak kos bahan binaan ini sangat membimbangkan. Jika berterusan, dikhuatiri banyak kontraktor pembinaan tempatan, terutamanya syarikat Bumiputera bersaiz kecil, terpaksa gulung tikar.
"Kontraktor pembinaan tempatan dihimpit kos yang tinggi, pada ketika industri itu menghadapi masalah kekurangan pekerja.
"Walaupun masalah-masalah ini telah berlanjutan untuk berbulan lamanya, kerajaan Umno-Bersatu-Pas masih gagal mengambil langkah-langkah berkesan untuk menyelesaikan isu berkenaan. Adakah kerajaan hanya akan bertindak apabila semakin banyak kontraktor gulung tikar?
"Kerajaan dalam hal ini perlu jelaskan apakah pelan tindakan mengatasi masalah berkenaan bagi membantu kepentingan kontraktor kecil yang kebanyakannya orang Melayu," kata Faiz dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, ADUN Permatang Pasir itu juga mencadangkan agar kerajaan menghentikan aktiviti monopoli import bahan binaan, terutamanya besi bagi menstabilkan harga bahan binaan.
Katanya, sistem lesen import (AP) perlu diliberalisasikan supaya campurtangan sesetengah kroni yang menjana "untung atas angin" dapat dibendung dan harga bahan binaan seperti besi dikurangkan.
Selain itu, beliau berpendapat pihak pemaju perumahan perlu dikecualikan daripada menanggung kos "contribution & compliance" yang tidak munasabah.
Misalnya, kata Faiz, kos pembinaan pencawang elektrik dan paip air utama seharusnya ditanggung TNB dan syarikat pengurusan air negeri.
"Adalah tidak relevan jika para pemaju dipaksa menanggung kos contribution & compliance padahal syarikat berteraskan keuntungan seperti TNB sepatutnya dapat menyerap kos sedemikian.
"Langkah sebegini adalah penting kerana jika pihak pemaju tidak lagi menanggung kos itu (iaitu 25-30% daripada kos keseluruhan), kenaikkan kos bahan binaan dapat diuruskan dengan lebih baik," katanya.
Faiz bimbang dengan laporan akhbar The Star baru baru ini bahawa harga rumah dijangka naik 5 - 20% menjelang akhir tahun akibat bahan binaan yang lebih mahal.
Katanya, jika kerajaan tidak mengambil langkah proaktif maka ramai rakyat Malaysia akan terpaksa melupakan hasrat membeli rumah mampu milik, dan ini termasuk rumah yang berharga di bawah RM70 ribu sekali pun kerana tidak lagi dapat dibina kerana kos yang minimum.
"Hal ini berlaku di kawasan saya Permatang Pasir, terdapat pembinaan rumah bantuan kerajaan atau GLC yang lambat dibina kerana ditolak oleh kebanyakan kontraktor kerana isu margin untung yang amat kecil ekoran kenaikan harga bahan binaan.
"Kerajaan Ismail Sabri harus keluar dari dalam gua dan akui kesan inflasi yang semakin teruk ke atas rakyat, khususnya golongan B40.
"Perlu ada langkah-langkah segera menyelamatkan industri pembinaan tempatan demi kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat Malaysia," katanya lagi.
Tegas Faiz, kenaikan kos bahan binaan perlu dikawal dengan dasar yang sesuai bagi memastikan impak dapat dikurangkan dengan signifikan.
Comments