Harga ayam, telur stabil menjelang Aidilfitri, rakyat tenang — KEADILAN Perak
- Redzuan Shamsudin

- 11 hours ago
- 2 min read

Kestabilan harga barangan asas seperti ayam dan telur menjelang musim perayaan kali ini memberi kelegaan kepada rakyat, sekali gus mencerminkan keberkesanan pengurusan bekalan makanan negara.
Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Azam Afandi, berkata situasi kali ini berbeza berbanding sebelum ini apabila rakyat sering berdepan kenaikan harga dan kekurangan bekalan.
"Setiap kali musim perayaan, antara perkara yang paling merisaukan rakyat ialah harga makanan asas terutamanya ayam dan telur," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sebelum ini rakyat pernah berdepan situasi harga melonjak dan bekalan terhad sehingga terpaksa beratur untuk mendapatkan barangan keperluan dapur.
"Namun pada musim perayaan kali ini, satu perkara yang perlu kita akui dengan jujur — harga ayam dan telur berada dalam keadaan stabil, dan bekalan mencukupi di pasaran,” ujarnya.
Beliau menegaskan, keadaan tersebut bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada pengurusan ekonomi yang lebih tersusun dan dasar kerajaan yang seimbang.
"Ini adalah hasil daripada pengurusan ekonomi yang lebih tersusun, dasar yang lebih seimbang serta pendekatan kerajaan yang memberi tumpuan kepada kestabilan jangka panjang, bukan sekadar penyelesaian sementara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pendekatan baharu dalam pengurusan bekalan makanan mula menunjukkan hasil yang positif.
"Di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI, kita mula melihat perubahan yang lebih matang dalam pengurusan bekalan makanan negara, di mana kestabilan harga dicapai melalui sistem, bukan bergantung semata-mata kepada subsidi," ujarnya.
Tambah beliau, perkara paling penting bagi rakyat adalah ketersediaan barangan, harga berpatutan dan bekalan mencukupi.
"Yang penting bagi rakyat adalah barang ada, harga berpatutan dan bekalan mencukupi dan hari ini, itu yang sedang kita rasai," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan perkembangan tersebut sebagai bukti bahawa dasar yang dilaksanakan dengan baik mampu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
"Kita tidak menafikan cabaran masih ada, tetapi arah yang kita sedang lalui hari ini adalah arah yang betul," katanya lagi.




Comments