‘HARAPAN Pengerang’: Calon DUN Tanjung Surat buat laporan polis akaun palsu
- Akmal Manaf
- 17 hours ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani tampil menegaskan akaun Facebook menggunakan nama ‘HARAPAN Pengerang’ bukan milik beliau atau mana-mana entiti rasmi PH Pengerang, selain mengesahkan laporan polis telah dibuat berhubung penyalahgunaan nama tersebut.
Faizul yang juga Ketua Cabang KEADILAN Pengerang berkata, penafian itu dibuat susulan kekeliruan yang timbul dalam kalangan orang awam dan pengamal media berhubung beberapa hantaran yang dimuat naik oleh akaun tersebut, khususnya berkaitan isu bendera HARAPAN yang dibakar di kawasan DUN Tanjung Surat, dan telah mendapat perhatian media sejak semalam.
Katanya, sebagai Ketua Cabang dan Pengerusi PH Pengerang, beliau memandang serius penyalahgunaan nama ‘HARAPAN Pengerang’ kerana ia boleh mengelirukan pengundi, menjejaskan suasana kempen serta mencemarkan imej calon, parti dan jentera pilihanraya.
"Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat dan aduan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah dikemukakan untuk tindakan lanjut berhubung akaun palsu berkenaan.

"Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara profesional, termasuk mengenal pasti pihak yang mengendalikan akaun tersebut serta tujuan sebenar ia diwujudkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Faizul juga mengemukakan beberapa perbuatan tidak wajar, melanggar peraturan kempen dan boleh dianggap percubaan mensabotaj bahan kempen beliau di DUN Tanjung Surat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Jentera kempen saya menerima aduan dan bukti bergambar berhubung beberapa lokasi bahan kempen, termasuk ‘billboard’ saya, yang dipercayai telah dihalang pandangan melalui pemasangan bendera parti lain di hadapannya.
"Perkara itu juga telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk perhatian dan tindakan lanjut memandangkan ia melibatkan bahan kempen pilihanraya serta ruang kempen yang sepatutnya berlangsung secara adil, tertib dan menghormati peraturan," katanya.
Dalam pada itu, Faizul berkata beliau percaya rakyat Tanjung Surat sudah cukup matang untuk melakukan penilaian sendiri terhadap perkembangan sepanjang kempen pilihanraya berlangsung.
Ujarnya, kempen pilihanraya sepatutnya menjadi medan mengangkat idea, dasar, rekod perkhidmatan dan tawaran kepada rakyat, bukan ruang untuk melakukan sabotaj, menyebarkan kekeliruan atau mengganggu bahan kempen pihak lain.
"Saya menyeru semua penyokong, pengundi dan pengguna media sosial supaya tidak mudah terpengaruh dengan akaun tidak rasmi, hantaran provokatif atau kandungan yang boleh mengelirukan.
"Semak dahulu sumber maklumat sebelum menyebarkan sebarang hantaran berkaitan kempen pilihanraya," pesan beliau.
