top of page

Hapus judi: 'Pas dicabar masuk manifesto, dulu jadi kerajaan tak buat apa'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Pas dicabar membuktikan kesungguhan menghapuskan perjudian dengan memasukkan komitmen itu dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU) selepas parti tersebut didakwa hanya lantang membawa isu berkenaan ketika berada di luar Kerajaan Persekutuan.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Pas perlu menyatakan dasar dan mekanisme yang jelas sekiranya benar-benar berhasrat menghapuskan perjudian berlesen kerana sebelum ini parti berkenaan berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah negara pada 2020 - 2022, tetapi tiada satu langkah pun diambil untuk meminda undang undang memansuhkan judi berlesen.


Hal itu timbul, kata Mahfuz, selepas Pas Kedah memainkan isu mengecam Putrajaya agar tidak membenarkan aktiviti perjudian terus dilesenkan di negeri itu.


"Jangan gunakan agama untuk menutup kelemahan dasar. Perjuangan agama sepatutnya menghasilkan akhlak yang lebih tinggi, bukan lidah yang lebih tajam menghina orang.


"Jangan jadikan kekalahan undang-undang sebagai kemenangan propaganda. Kerajaan Kedah memilih jalan undang-undang untuk mempertahankan dasarnya. Mahkamah telah membuat keputusan.


"Maka terimalah hakikat bahawa dalam negara demokrasi dan berperlembagaan, kerajaan negeri juga tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.


"Jangan selepas kalah dalam pertikaian kuasa, cerita itu ditukar menjadi (kononnya) 'PMX mahu bawa judi ke Kedah'. Itu bukan hujah undang-undang (tapi) propaganda politik," bidas beliau menerusi satu kenyataan.


Dalam pada itu, Mahfuz turut menzahirkan kekesalan dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar dengan isu perjudian di Kedah.


"Jangan salahkan PMX kerana keputusan mahkamah. Keputusan Mahkamah Persekutuan bukan keputusan peribadi Anwar Ibrahim. Mahkamah bukan Anwar. Hakim bukan Anwar. Perlembagaan bukan Anwar.


"Jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada Kerajaan Kedah, jangan pula Perdana Menteri dijadikan kambing hitam.


"Kalah di mahkamah bukan bermakna PMX yang salah dan keputusan mahkamah bukan lesen untuk memaki Perdana Menteri," tempelak beliau lagi.


Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri itu.


Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page